Thailand tingkat langkah kawalan buat pengangkutan awam bagi bendung Omicron

Bernama
Disember 28, 2021 13:22 MYT
Prayuth menyuarakan kebimbangan mengenai perjalanan rentas wilayah semasa cuti Tahun Baharu akan datang. - AP
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha hari ini mengarahkan pihak berkuasa yang berkaitan untuk mengetatkan langkah-langkah pencegahan COVID-19 buat pengangkutan awam semasa cuti Tahun Baharu, dalam usaha menghentikan lonjakan jangkitan berikutan meningkatnya kebimbangan terhadap penularan pantas varian Omicron.
Jurucakap Kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana berkata, Prayuth menyuarakan kebimbangan mengenai perjalanan rentas wilayah semasa cuti Tahun Baharu akan datang.
"Beliau (Prayuth) mengarahkan Kementerian Kesihatan Awam bersama-sama Kementerian Pengangkutan dan Transport Co. Ltd. menyelaraskan langkah-langkah bagi menampung sejumlah besar penumpang bas awam dalam tempoh itu.
"Kementerian Pengangkutan juga diarah memastikan aliran trafik bergerak lancar bermula 29 Disember hingga 4 Januari," katanya dalam satu kenyataan.
Thanakorn berkata Kementerian Kesihatan Awam mencadangkan semua penumpang bas awam yang melibatkan tempoh perjalanan selama empat jam dan lebih harus menjalani ujian menggunakan Kit Ujian Antigen (ATK) dan memakai pelitup muka setiap masa.
Pemandu dan kakitangan penyedia perkhidmatan juga harus bertindak mematuhi langkah berkaitan COVID-19, katanya.
Thanakorn menyebut Prayuth berharap jumlah kemalangan jalan raya dan kemalangan jiwa dapat dikurangkan semasa musim perayaan ini.
Transport Co. Ltd. menjangkakan kira-kira 60,000 penumpang sehari (purata 4,700 perjalanan sehari) pada 28 hingga 30 Disember, peningkatan sebanyak tiga peratus tahun ke tahun dan 50,000 penumpang sehari (purata 4,500 perjalanan setiap hari) pada 2 hingga 3 Januari.
Sehingga Isnin, Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 berkata Thailand mencatatkan lebih 500 kes Omicron.
Dalam tempoh 24 jam terakhir, Thailand melaporkan 2,305 kes COVID-19 dan 32 kematian, menjadikan jumlah jangkitan di negara itu kepada 2,214,712 kes dan 21,630 kematian setakat ini.
-- BERNAMA
#Thailand #Omicron #tahun baharu #COVID-19