Thailand tidak akan guna kekerasan selesaikan konflik di selatan
Bernama
September 15, 2017 07:27 MYT
September 15, 2017 07:27 MYT
Thailand tidak akan menggunakan kekerasan untuk menyelesaikan konflik di selatan meskipun insiden pengeboman di Yala pada Khamis mengorbankan dua anggota tentera dan mencederakan 27 orang lagi.
Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha berkata Bangkok akan menggunakan penguatkuasaan undang-undang untuk menghentikan keganasan di wilayah selatan.
"Kami tidak akan menjadikan keadaan lebih ganas, sebaliknya kami akan menyelesaikan masalah ini dengan menggunakan penguatkuasaan undang-undang. Kami tidak akan menugaskan anggota tentera untuk membuat penahanan di setiap kawasan, kerana jika begitu, ia adalah peperangan," katanya.
Beliau ditemui media di Rumah Kerajaan pada Jumaat, pada masa lelaki bersenjata melancarkan tiga serangan bersepadu di Yala menggunakan bom buatan sendiri yang amat kuat dan melakukan serang hendap.
Susulan insiden di Yala pada Khamis, sebahagian daripada pengguna media sosial Thai menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan lebih tegas untuk menghentikan keganasan itu.
Kebanyakan anggota tentera yang cedera dalam insiden itu bertugas dengan unit pemusnah bom yang bergegas ke lokasi kejadian dan diserang dengan tembakan senjata api.
Menurut Prayut, beliau telah mengarahkan pasukan keselamatan di selatan Thai supaya memperketatkan langkah keselamatan sebagai respons kepada insiden keganasan terbaharu.
Keadaan di selatan, katanya, secara keseluruhan semakin bertambah baik, bagaimanapun perkembangan positif itu dicemari oleh tindakan 'orang berniat jahat.'
Sementara itu, perdana menteri turut mengarahkan pasukan keselamatan di selatan untuk menghalang pengamal media dan pihak lain daripada memasuki zon konflik.
Arahan itu bertujuan memastikan tiada insiden tidak diiingini berlaku kepada anggota media, katanya.
Seorang daripada mangsa yang cedera dalam insiden pada Khamis adalah jurugambar tempatan.
Lebih 6,000 orang terkorban dalam konflik yang berlarutan di wilayah paling selatan di Thailand sejak awal tahun 2000.
-- BERNAMA
#Bangkok
#bom
#bom buatan sendiri
#keganasan
#konflik
#Prayut Chan-O-Cha
#selatan thailand
#undang-undang
#yala