Thailand terima 7 juta pelancong dua bulan pertama 2025

Bernama
Mac 4, 2025 20:47 MYT
China kekal sebagai pasaran terbesar Thailand dengan 1.05 juta pelawat, diikuti Malaysia (879,864), dan Rusia (504,449). - Gambar fail/Bernama
BANGKOK: Thailand mengalu-alukan kedatangan tujuh juta pelancong antarabangsa antara 1 Jan dan 2 Mac, menjana kira-kira 343.405 bilion baht (100 baht = RM13.21) dalam hasil pelancongan.
Menteri Pelancongan dan Sukan Sorawong Thianthong berkata China kekal sebagai pasaran terbesar Thailand dengan 1.05 juta pelawat, diikuti Malaysia (879,864), Rusia (504,449), Korea Selatan (389,482) dan India (367,542).
Beliau berkata industri pelancongan mencatatkan penurunan ketibaan pelancong antarabangsa merentasi semua segmen pasaran dalam tempoh itu susulan berakhirnya musim pelancongan musim sejuk dan permulaan Ramadan.
Thailand menyasarkan untuk menarik sekurang-kurangnya 38 juta pelancong antarabangsa tahun ini. Pada 2024, negara itu menerima lebih 35.5 juta pelawat yang menjana 1.67 trilion baht dalam hasil pelancongan.
-- BERNAMA
#Thailand #pelancongan #bilangan pelancong #kedatangan antarabangsa
;