Thailand terima 29 juta pelancong, jangka lebih ramai ketika musim puncak bermula
Bernama
November 5, 2024 04:30 MYT
November 5, 2024 04:30 MYT
BANGKOK: Thailand telah menerima ketibaan lebih 29.08 juta pelancong asing, menjana pendapatan kira-kira 1.358 trilion baht dari 1 Januari hingga 3 November tahun ini.
Menurut statistik daripada Kementerian Pelancongan dan Sukan, pelancong dari China mendahului senarai ketibaan dengan lebih 5.75 juta orang, diikuti pelancong dari Malaysia (4.18 juta), India (1.72 juta), Korea Selatan (1.53 juta), dan Rusia (1.3 juta) dalam tempoh berkenaan.
Menteri Pelancongan dan Sukan, Sorawong Thienthong berkata peningkatan ketibaan pelancong asing dijangka berterusan minggu depan, dipacu oleh musim puncak untuk pasaran jarak jauh, terutamanya dari Eropah.
"Langkah-langkah promosi pelancongan telah meningkatkan kapasiti tempat duduk ke Thailand sebanyak 10 peratus dari Julai hingga akhir tahun.
"Langkah-langkah 'Memudahkan Perjalanan' oleh kerajaan, termasuk pengecualian kad imigresen TM.6 di pusat pemeriksaan sempadan darat, dan insentif untuk syarikat penerbangan bagi meningkatkan kekerapan penerbangan, turut menjadi penyumbang utama," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Thailand menyasarkan sekurang-kurangnya 40 juta pelancong asing tahun ini, menyamai tahap sebelum pandemik yang direkodkan pada 2019.
Negara itu telah meramalkan jumlah pendapatan pelancongan sebanyak tiga trilion baht daripada pelancong domestik dan asing menjelang akhir tahun ini.
-- BERNAMA