Thailand tempah tambahan 35 juta dos vaksin COVID-19

Bernama
Januari 5, 2021 22:49 MYT
Thailand telah menempah tambahan 35 juta dos vaksin COVID-19, menjadikan jumlah pembelian 61 juta dos daripada Oxford-AstraZeneca. - Gambar fail/REUTERS
BANGKOK: Thailand telah menempah tambahan 35 juta dos vaksin COVID-19, menjadikan jumlah pembelian 61 juta dos daripada firma farmaseutikal multinasional Britain-Sweden, Oxford-AstraZeneca.
Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha berkata sebelum ini kerajaan telah mendapatkan 26 juta dos vaksin yang dibangunkan oleh Oxford University dan AstraZeneca, November lalu.
"Kami menyasarkan untuk menyediakan vaksin untuk sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet di sini hari ini.
Syarikat biofarmaseutikal Thailand, Siam Bioscience, akan menghasilkan vaksin COVID-19 dengan menggunakan formula dan teknologi yang dibangunkan oleh AstraZeneca Plc, dengan bekalan pertama dijangka siap sebelum Mei ini.
Siam Bioscience dijangka menghasilkan 200 juta dos vaksin dalam setahun. Vaksin tersebut akan dikemukakan untuk kelulusan Pentadbiran Makanan dan Perubatan (FDA) Thailand sebelum April ini.
Sementara itu, Thailand mencatatkan 527 kes baharu COVID-19 dan tiada kematian pada tempoh 24 jam lalu, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 8,966 dengan 65 kematian setakat ini.
Dalam pada itu, Pejabat Sheikhul Islam Thailand mengumunkan larangan menunaikan solat Jumaat di masjid di lima wilayah yang dikesan lonjakan kes COVID-19 iaitu Samut Sakhon, Chonburi, Rayong, Chanthaburi dan Trat.
Dalam kenyataan hari ini, pejabat itu berkata umat Islam di wilayah lain dibenarkan menunaikan solat Jumaat dengan mematuhi peraturan ketat termasuk memakai pelitup muka, penjarakan sosial dan menggunakan sanitasi tangan sebelum memasuki masjid.
-- BERNAMA
#Oxford-AstraZeneca #Thailand #vaksin #tambahan dos #Prayuth Chan o-cha #AstraZeneca #COVID-19
;