Thailand tahan warga Pakistan didakwa bekal pasport palsu kepada militan Daish
Bernama
Januari 16, 2018 04:26 MYT
Januari 16, 2018 04:26 MYT
Thailand mengesahkan seorang lelaki Pakistan ditahan di sini Ahad lepas kerana didakwa mengeluarkan pasport dan dokumen perjalanan lain palsu bagi membolehkan individu yang ada kaitan dengan kumpulan militan Daish memasuki negara itu.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri Jen Prawit Wongsuwan berkata percubaan oleh lelaki berusia 51 tahun itu untuk membawa masuk individu dari Timur Tengah ke Thailand gagal.
"Beliau mengeluarkan pasport dan visa palsu dalam percubaan membawa masuk (anggota) Islamic State (IS) atau Daish ke Thailand. Tidak, tidak ada IS masuk ke Thailand," katanya kepada pemberita pada Selasa apabila ditanya tentang laporan media mengenai penangkapan seorang lelaki Pakistan dikenal sebagai Muhammad Iqbal.
Laporan itu menyebut sumber tentang penangkapan Iqbal di kondominium di Bangkok Ahad lepas kerana disyaki mengeluarkan pasport dan dokumen palsu lain untuk penjenayah transnasional, termasuk individu yang ingin menyertai Daish.
Menurut media, pihak berkuasa meminta bantuan rakan sejawatan Malaysia untuk menyiasat sama ada lelaki Pakistan itu terlibat mengeluarkan pasport palsu bagi militan Malaysia, Indonesia, Singapura dan mungkin juga Thai yang ingin ke Timur Tengah untuk menyertai Daish.
Prawit yang juga Menteri Pertahanan dan bertanggungjawab bagi keselamatan dalam negeri berkata, lelaki Pakistan itu tinggal di negara lain tetapi mengembara ke Thailand baru-baru ini di mana beliau ditangkap oleh pihak berkuasa.
Iqbal ditangkap oleh sepasukan polis imigresen, askar dan polis di sebuah kondominium Bangkok, di mana pihak berkuasa menemukan pasport India dan Singapura di samping alat untuk menghasilkan dokumen palsu.
Menurut laporan media, lelaki Pakistan itu menyertai rangkaian yang sama diketuai oleh seorang rakyat Iran, Hamid Reza Jafary, juga dikenali sebagai "Doktor" kerana kepakarannya menghasilkan pasport palsu, sebelum beliau ditahan oleh pihak berkuasa Thai pada Feb 2016.
Sementara itu, ketua setiausaha Majlis Keselamatan Nasional, Jen Wanlop Raksanor bila dihubungi Bernama berkata polis masih menjalankan siasatan ke atas lelaki Pakistan itu.
-- BERNAMA
#Daesh
#dokumen palsu
#jenayah
#kondominium
#lelaki
#Muhammad Iqbal
#Pakistan
#pasport
#Prawit Wongsuwan
#tangkapan
#Thailand
#Timur Tengah
#transnasional
#Visa