Thailand siap siaga hadapi hujan lebat bermula esok

Bernama
September 2, 2024 21:03 MYT
Hujan lebat hingga sangat lebat dijangka melanda beberapa kawasan dari 3 hingga 7 Sept 2024. - Gambar hiasan/ Reuters
BANGKOK: Thailand bersiap siaga menghadapi hujan lebat dalam beberapa hari akan datang, dengan 44 wilayah berisiko dilanda banjir kilat, limpahan air dan ombak kuat, menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM).
Ketua Pengarah DDPM Chaiwat Chuntirapong, berkata hujan lebat hingga sangat lebat dijangka melanda beberapa kawasan dari 3 hingga 7 Sept 2024.
"DDPM menyelaraskan dengan 44 wilayah di Utara, Timur Laut, Tengah, Selatan dan Bangkok, termasuk pusat pencegahan dan mitigasi bencana di kawasan berisiko, untuk memantau paras hujan dan situasi air.
"Banyak kawasan bandar berisiko menghadapi banjir akibat hujan lebat berterusan. Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mengikuti maklumat cuaca dan kemas kini kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin (2 Sept).
Bagi tarikan pelancongan semula jadi seperti gua, hutan dan air terjun, Chaiwat menasihatkan pengendali untuk memantau keadaan cuaca dengan teliti dan membuat pengumuman jika kawasan tersebut berisiko mengalami sebarang bencana.
Beliau juga memberi amaran kepada penduduk pantai dan pelancong agar tidak berenang semasa tempoh ombak kuat.
"Agensi berkaitan, seperti Jabatan Marin, Tentera Laut Diraja Thailand dan Polis Marin, perlu menghubungi pengendali bot, memberi arahan kepada kapten bot dan pengendali bot penumpang untuk berhati-hati jika keadaan semakin buruk," katanya.
Chaiwat juga menggesa semua agensi kerajaan berkaitan untuk bersiap sedia dengan jentera tindak balas bencana dan kenderaan operasi, serta bagi anggota Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) untuk bertindak segera dalam menangani kejadian dan membantu mangsa.
"Wilayah juga perlu menyebarkan maklumat cuaca dan kemas kini daripada kerajaan kepada orang ramai serta memberi amaran kepada penduduk di kawasan berisiko lebih awal, agar mereka dapat membuat persiapan yang sewajarnya dan mengikuti arahan rasmi," katanya.
Sejak 16 Ogos, hujan monsun mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh, mengakibatkan 22 kematian dan 19 mangsa cedera di seluruh Thailand.
Keadaan cuaca buruk itu menjejaskan lebih 30,900 isi rumah di 13 wilayah.
-- BERNAMA
#hujan lebat #banjir #cuti sekolah #Thailand