Thailand seru semua pihak hentikan keganasan di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar

Bernama
Disember 30, 2021 06:20 MYT
Anggota tentera Thailand mengawasi kawasan sempadan negara itu dengan Myanmar. - Foto REUTERS
BANGKOK: Thailand menggesa keganasan di Myanmar segera ditamatkan kerana pertempuran menimbulkan ketegangan di sepanjang sempadan kedua-dua negara.
Jurucakap Kementerian Luar Tanee Sangrat berkata, Thailand berharap semua pihak yang terlibat akan mengadakan perbincangan dan menyelesaikan perselisihan mereka secepat mungkin.
"Selain itu, semua pihak mesti memulihkan keamanan dan kestabilan di sepanjang sempadan untuk memastikan rakyat selamat dan dapat meneruskan rutin kehidupan mereka," katanya pada sidang media di sini pada Khamis.
Tanee berkata pihak berkuasa tempatan bekerjasama dengan penduduk kampung di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar di wilayah Tak untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Myanmar.
Media melaporkan pada malam Krismas, 35 orang awam dibunuh dan mayat mereka dibakar di Negeri Kayah di Timur Myanmar. Mereka termasuk empat kanak-kanak dan dua kakitangan organisasi kemanusiaan Save the Children.
Sebagai jiran Myanmar, Tanee menyebut Thailand prihatin dengan keganasan di banyak bahagian Myanmar.
Sementara itu, Tanee berkata Thailand berharap ASEAN dan pengerusinya bagi 2022, Kemboja akan membawa kemajuan positif untuk menamatkan krisis Myanmar.
-- BERNAMA
#ASEAN #Thailand #keganasan #Myanmar
;