Thailand sertai pemimpin dunia perbaharui ikrar dan komitmen tamatkan pandemik COVID-19

Bernama
Mei 13, 2022 19:01 MYT
Don berkata Thailand sedang mempercepat pemberian vaksin kepada setiap orang di negara itu tanpa mengira kewarganegaraan atau status imigresen. - Bernama
BANGKOK: Thailand menyertai para pemimpin global memperbaharui ikrar dan komitmennya untuk menamatkan pandemik COVID-19, termasuk menderma vaksin kepada negara yang menghadapi kekurangan vaksin.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar, Don Pramudwinai berkata, komitmen baharu Thailand untuk menamatkan pandemik itu melibatkan enam perkara termasuk mendermakan lebih 3.3 juta dos vaksin COVID-19 bernilai AS$14.5 juta kepada negara yang kekurangan vaksin tahun ini
"Pertama, setakat ini, kami sudah menderma 1.3 juta dos kepada negara jiran," katanya ketika menyampaikan kenyataan (melalui video prarakaman) pada Sidang Kemuncak COVID-19 Global ke-2, dipengerusikan oleh Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, dalam Sesi 1: Mencegah Kelesuan Pandemik dan Mengutamakan Kesiapsiagaan pada Khamis.
Kedua, Don berkata Thailand sedang mempercepat pemberian vaksin kepada setiap orang di negara itu tanpa mengira kewarganegaraan atau status imigresen.
Mengenai perkara ketiga, Don menyebut Thailand berjanji untuk terus menggalakkan pencegahan penyakit dan kesiapsiagaan menghadapi wabak melalui projek pembinaan kapasiti di beberapa negara.
Keempat, beliau berkata Thailand bersedia untuk bekerjasama dengan rakan kongsi global dalam pembangunan dan pembuatan vaksin.
"Satu daripada vaksin buatan kami dijangka didaftarkan dan dihasilkan pada suku pertama 2023," katanya.
Mengenai perkara kelima, Don berkata Thailand berikrar untuk memberikan sumbangan kewangan kepada Dana Global untuk Memerangi HIV, Tuberkulosis dan Malaria berjulmah AS$7.5 juta, atau AS$1.5 juta setahun dari 2020 hingga 2024, yang turut menyokong negara-negara dalam memerangi COVID-19.
"Keenam, Thailand pada dasarnya menyokong inisiatif Amerika Syarikat menubuhkan dana keselamatan kesihatan global baharu di bawah Bank Dunia untuk kesiapsiagaan dan respons yang lebih baik terhadap kecemasan kesihatan masa depan," katanya.
Don berkata Thailand menyeru para pemimpin global agar bekerjasama dan mengambil langkah lebih berani untuk menamatkan pandemik ini dan bangkit semula dengan lebih mantap dan kuat.
Sidang Kemuncak COVID-19 Global ke-2, yang dihoskan bersama oleh Amerika Syarikat, Belize, Jerman, Indonesia dan Senegal, turut dihadiri oleh Ketua Negara/Kerajaan dan menteri bersama-sama pemimpin daripada organisasi antarabangsa, masyarakat awam, syarikat swasta terkemuka, dan yayasan dermawan.
Sidang kemuncak itu bertujuan menghimpunkan para pemimpin global untuk mengulangi ikrar mereka untuk menamatkan COVID-19 dalam 4 aspek termasuk mencegah pandemik, mempercepat vaksinasi, memperluas akses kepada ujian dan rawatan, dan mengukuhkan sistem keselamatan kesihatan.
Menurut satu kenyataan di laman sesawang Rumah Putih, Sidang Kemuncak itu memperoleh komitmen kewangan baharu berjumlah AS$3.2 bilion, yang belum diumumkan, melebihi ikrar yang dibuat pada 2022.
Ini termasuk hampir AS$2.5 bilion untuk COVID-19 dan respons yang berkaitan aktiviti dan komitmen baharu bernilai AS$712 juta ke arah persediaan menghadapi wabak baharu dan dana keselamatan kesihatan global di Bank Dunia.
-- BERNAMA
#Thailand #pandemik #vaksin #Don Pramudwinai
;