Thailand sedia jadi hos kemuncak Trump-Kim Jong Un
Bernama
April 24, 2018 05:37 MYT
April 24, 2018 05:37 MYT
Thailand sedia jadi hos bagi sidang kemuncak bersejarah antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un jika Bangkok dipilih sebagai venue.
Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha berkata, Thailang sudah bersedia untuk apa sahaja.
"Negara kami sedia menerima (kedua-dua pemimpin), kami hos yang mesra," katanya kepada media pada Selasa berhubung spekulasi bahawa Bangkok mungkin menjadi hos rundingan langsung antara pemimpin kedua-dua negara itu.
Sekalipun Bangkok merupakan satu daripada rakan AS paling rapat di rantau ini, namun ia tetap memelihara hubungan diplomatik dengan Pyongyang.
Presiden Trump pernah menyatakan bahawa rundingannya dengan Jong Un, yang pertama bagi presiden yang sedang berkhidmat, dengan pemimpin Korea Utara, mungkin diadakan pada lewat Mei atau Jun.
Rundingan akan tertumpu kepada ancaman nuklear Pyongyang.
Sementara itu, Perdana Menteri itu juga ditanya tentang sama ada Thailand akan menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans Pasifik (CPTPP) yang ditandatangani oleh 11 negara termasuk Malaysia dan Singapura beberapa bulan lalu.
Menurut Prayut, Thailand masih mempertimbang baik buruknya menyertai perjanjian itu.
Kerajaan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa kerja untuk menilai opsyen yang ada.
-- BERNAMA