Thailand sedia beri kerjasama pergiat kawalan di sempadan Thailand-Malaysia

Bernama
November 27, 2020 08:25 MYT
Lt Jeneral Kriangkrai Srirak meninjau lokasi insiden di Daerah Sadao Songkhla di mana seorang anggota PGA maut ditembak ketika bertugas di Perlis pada Selasa. --fotoBERNAMA
SONGKHLA: Thailand sedia memberi kerjasama untuk mempergiat kawalan keselamatan di sempadan Thailand-Malaysia susulan insiden seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) maut ditembak ketika bertugas di Perlis pada Selasa.
Komander Tentera Bahagian Ke-4 Lt Jeneral Kriangkrai Srirak yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC) Thailand-Malaysia telah menghubungi Pengerusi RBC Malaysia Lt Jen Datuk Mohamad Ab Rahman semalam.
Beliau berkata mereka telah mengadakan perbincangan untuk mempertingkat kawalan di sempadan Thailand-Malaysia bagi mengelak insiden yang sama berulang.
Pasukan keselamatan, katanya, akan mempertingkat kawalan di sepanjang sempadan termasuk mempergiat rondaan dan mewujudkan pos kawalan di lokasi strategik bagi mengekang kegiatan penyeludupan serta berkongsi maklumat.
"Kami tidak mahu insiden yang sama berulang. Pihak berkuasa Thailand sedia memberi kerjasama kerana ia merupakan salah satu saluran untuk mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku," katanya kepada media selepas meninjau lokasi kejadian di Daerah Sadao, Songkhla, di mana anggota PGA maut ditembak pada Selasa lepas.
Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang Sarjan Baharuddin Ramli, 54, yang terkorban dalam kejadian berbalas tembakan di sempadan Padang Besar, Perlis itu.
Kriangkrai berkata hubungan diplomatik kedua-dua negara berada pada tahap yang baik.
"Sehubungan itu, langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil," katanya.
Sementara itu, Kriangkrai berkata pihak berkuasa Thailand telah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam insiden berbalas tembakan pada Selasa lepas itu.
"Tangkapan akan dibuat dalam tempoh terdekat untuk membantu siasatan," katanya.
Semalam media melaporkan seorang anggota PGA cedera ringan selepas terkena tembakan ketika menjalankan rondaan bersama-sama rakan setugasnya di sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah pada kira-kira 6.15 petang.
Dalam kejadian pertama pada awal pagi Selasa lepas, Baharuddin maut manakala Sarjan Norihan a/l Tari, 39, parah dalam kejadian berbalas tembakan dengan penyeludup di Pos TS9 berdekatan Padang Besar, Perlis.
-- BERNAMA
#Thailand #Kedah #Perlis #maut #suspek #tembakan #siasatan #Malaysia #sempadan #keselamatan #tentera
;