Thailand sasar sejuta pelajar tercicir kembali ke sekolah

Bernama
Julai 2, 2024 21:22 MYT
Jurucakap kerajaan Thailand, Chai Wacharonke, berkata Perdana Menteri Srettha Thavisin bimbang tentang isu berkenaan. - Gambar fail/Freepik
BANGKOK: Thailand telah memulakan inisiatif di seluruh negara untuk menangani isu keciciran pembelajaran melalui dasar "Thailand Zero Dropout".
Jurucakap kerajaan Thailand, Chai Wacharonke, berkata Perdana Menteri Srettha Thavisin bimbang tentang isu berkenaan.
Beliau berkata Srettha telah mengarahkan agensi berkaitan untuk bekerjasama dalam menangani masalah keciciran pembelajaran dengan mengenal pasti belia, berumur antara tiga hingga 18 tahun, yang "tidak kelihatan" dalam sistem pendidikan negara dan membawa mereka kembali ke dalam sistem pendidikan.
"Ini adalah selaras dengan dasar 'Thailand Zero Dropout' kerajaan yang bertujuan membangunkan modal insan negara untuk masa depan yang mampan," kata Chai selepas mesyuarat Kabinet pada Selasa.
Beliau berkata proses mengenal pasti keciciran pelajar di setiap wilayah akan bermula pada Julai.
Chai yang merujuk pangkalan data nasional, berkata lebih 1.02 juta belia "tidak kelihatan" dalam sistem pendidikan.
"Perdana Menteri menekankan bahawa kerajaan memberi keutamaan yang besar kepada pembangunan kanak-kanak dan belia untuk masa depan negara," katanya.
Chai berkata terdapat lima kategori keciciran pembelajaran seperti yang ditakrifkan oleh UNESCO dan UNICEF, merangkumi kanak-kanak merentasi pelbagai peringkat umur, sama ada yang telah berdaftar atau berisiko tercicir dari sekolah rendah dan menengah.
Kabinet dalam mesyuarat pada 28 Mei telah meluluskan dasar "Thailand Zero Dropout", menjadikannya agenda nasional.
-- BERNAMA
#masa depan #Thailand Zero Dropout #UNICEF #sekolah rendah
;