Thailand sasar berikan 1 juta dos vaksin COVID-19 sehari

Bernama
September 25, 2021 05:02 MYT
Pemberian vaksin itu termasuk suntikan dos penggalak kepada penerima dua dos vaksin keluaran Sinovac Biotech. - Foto AP Newsroom
BANGKOK: Thailand menyasarkan untuk menyuntik sehingga satu juta dos vaksin COVID-19 dalam sehari bagi meningkatkan liputan vaksinasi berikutan rancangan negara ini untuk membuka kembali destinasi pelancongan kepada pengembara lengkap divaksin.
Pemberian vaksin itu termasuk suntikan dos penggalak kepada penerima dua dos vaksin keluaran Sinovac Biotech.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul berkata Thailand dijadual menerima 15 juta dos vaksin COVID-19 bulan ini dan tambahan 20 juta dos bulan depan.
"Kami berharap dapat memberikan satu juta dos sehari termasuk suntikan penggalak," katanya.
Setakat ini, dalam sehari Thailand memberikan antara 600,000 hingga 800,000 dos vaksin.
Negara ini menyasarkan menyuntik 4.5 juta pelajar berusia 12 hingga 17 tahun dengan vaksin Pfizer-BioNTech pada Oktober.
Thailand sudah memberikan suntikan kira-kira 47.3 juta dos vaksin sejak program vaksinasi bermula 28 Februari lalu.
Sementara itu, kes COVID-19 menurun di bawah angka 12,000.
Sejak 24 jam lalu, negara ini mencatatkan 11,975 kes baharu dan korban seramai 127 orang, menjadikan jumlah jangkitan sebanyak 1,549,285 dan 16,143 kematian.
-- BERNAMA
#Thailand #vaksin #suntikan #jangkitan #COVID-19
;