Thailand rintis teknologi WiFi generasi akan datang untuk transformasi kesihatan

Bernama
Mac 15, 2024 22:47 MYT
USTDA berkata kajian yang dibiayai itu akan merangkumi pembuktian konsep untuk penggunaan teknologi Wi-Fi 6E di Hospital Ramathibodi. - FB Ramathibodi - International Relations Section
BANGKOK: Agensi Perdagangan dan Pembangunan Amerika Syarikat (USTDA) telah menandatangani perjanjian geran dengan Hospital Ramathibodi Universiti Mahidol untuk kajian kebolehlaksanaan dan projek perintis bagi menyokong kemajuan Thailand dalam mengguna pakai teknologi Wi-Fi generasi akan datang untuk mengubah sektor penjagaan kesihatannya.
Hospital Ramathibodi telah memilih kumpulan industri bukan berasaskan keuntungan, Wi-Fi Alliance yang berpangkalan di AS untuk menjalankan kajian itu.
Dalam satu kenyataan, USTDA berkata kajian yang dibiayai itu akan merangkumi pembuktian konsep untuk penggunaan teknologi Wi-Fi 6E di Hospital Ramathibodi, satu daripada hospital pengajar awam terkemuka di Thailand.
Menurut USTDA, fasa perintis awal akan menunjukkan bagaimana teknologi itu yang membolehkan kelajuan lebih pantas dan kelewatan yang lebih rendah dengan membuka jalur spektrum 6 GHz, boleh meningkatkan pendidikan perubatan dan penyampaian perkhidmatan dalam bidang seperti realiti maya dan tambahan untuk latihan anatomi.
Agensi itu berkata fasa kedua ujian akan menilai sejauh mana prestasi Wi-Fi 6E dalam persekitaran teknikal yang padat.
Sementara itu, Pengarah USTDA Enoh T. Ebong berkata hospital memerlukan infrastruktur digital berkualiti tinggi untuk merealisasikan sepenuhnya manfaat transformasi daripada banyak teknologi baru muncul yang menyelamatkan nyawa.
"Melalui perkongsian dengan Hospital Ramathibodi dan Wi-Fi Alliance, USTDA menyasarkan untuk menggunakan inovasi AS yang boleh menyokong penggunaan teknologi generasi akan datang Thailand untuk meningkatkan pendidikan perubatan dan penyampaian perkhidmatan," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan di Hospital Ramathibodi, Prof Klinikal Artit Ungkanont berkata projek perintis kerjasama itu akan memainkan peranan penting dalam pelaksanaan meluas teknologi Wi-Fi 6E dalam sektor kesihatan Thailand.
"Ia akan meningkatkan perkhidmatan perubatan untuk kebaikan negara," katanya.
-- BERNAMA
#Thailand #Wifi #teknologi #kesihatan #Hospital Ramathibodi
;