Thailand rancang perkenal visa Muay Thai

Bernama
Januari 14, 2024 21:27 MYT
Kerajaan Thailand sedia menawarkan individu yang berminat untuk mempelajari Muay Thai dengan visa khas 90 hari (berbanding visa standard 60 hari). - Gambar hiasan/BERNAMA
BANGKOK: Thailand berhasrat untuk memperkenalkan visa Muay Thai dalam usaha meningkatkan pelancongan sukan dan pertukaran budaya untuk mengukuhkan ekonomi negara dan menonjolkan aktiviti kuasa lembut (soft power).
Perdana Menteri Srettha Thavisin berkata kerajaan Thailand sedia menawarkan individu yang berminat untuk mempelajari Muay Thai dengan visa khas 90 hari (berbanding visa standard 60 hari).
"Kami tidak hanya memikirkan untuk memberikan visa khas buat Muay Thai tetapi juga untuk aktiviti soft power lain seperti tarian dan muzik Thailand dan mempelajari cara memasak makanan Thailand.
"Kami bersedia untuk menyokong inisiatif-inisiatif itu. Kami sedang bersiap sedia untuk mempertimbangkan pemberian visa khas untuk mereka selepas ini," katanya di X.
Penasihat kepada perdana menteri dan pengerusi jawatankuasa khas kerajaan untuk menggalakkan aktiviti berkaitan sukan Pimol Srivikorn berkata kerajaan bercadang untuk memperkenalkan visa khas untuk pelancong asing yang ingin melawat Thailand untuk berlatih Muay Thai.
"Dengan visa pelancong, warga asing boleh tinggal di Thailand sehingga 60 hari tetapi dengan visa khas untuk mempelajari Muay Thai, mereka boleh tinggal selama 90 hari.
"Kerajaan akan menetapkan tahap standard yang perlu dicapai di kelas dan juga pensijilan untuk guru Muay Thai supaya seni tempur negara dapat disebarkan dengan tepat ke seluruh dunia," katanya.
Kerajaan Thailand sedang berusaha untuk mempromosikan aktiviti kuasa lembutnya secara global dalam 11 industri untuk mewujudkan lebih 20 juta pekerjaan dan menjana pendapatan empat trilion baht setahun.
Sebelas industri itu, termasuk pelancongan, festival, sukan, masakan, filem, muzik, seni, buku, permainan, reka bentuk dan fesyen. Inovasi dan reka bentuk jenama akan digunakan untuk mempromosikan produk penting dalam pasaran global.
-- BERNAMA
#Thailand #visa muay thai #pelancongan sukan #aktiviti kuasa lembut #Srettha Thavisin
;