Thailand rancang daftarkan Nan sebagai Tapak Warisan Budaya Dunia UNESCO
Bernama
Jun 11, 2024 07:30 MYT
Jun 11, 2024 07:30 MYT
BANGKOK: Kerajaan Thailand berhasrat untuk mendaftarkan Nan, sebuah wilayah luar bandar di utara Thailand sebagai Tapak Warisan Budaya Dunia dengan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Jurucakap kerajaan Thailand, Chai Watcharong berkata, Perdana Menteri Srettha Thavisin menyokong usaha menjadikan Nan sebagai Tapak Warisan Budaya Dunia dan turut bersetuju untuk meningkatkan perkhidmatan di lapangan terbang Nan bagi menarik pelancong, mencipta peluang dan meningkatkan pendapatan untuk wilayah itu.
Menurut Chai, Srettha sedang menggerakkan usaha untuk menjadikan Nan sebagai Tapak Warisan Budaya Dunia dengan memperkukuh hubungan pelancongan dengan Luang Prabang, Laos.
"Kami sedang mengkaji tapak warisan budaya bagi mendorong Nan ke arah status Warisan Dunia, termasuk bersiap sedia mencadangkan tapak warisan budaya Nan untuk pendaftaran Warisan Budaya Dunia UNESCO.
"Nan mempunyai sumber semula jadi yang pelbagai, sejarah yang panjang, kepelbagaian etnik dan tradisi budaya yang kaya. Ia juga mempunyai bukti arkeologi dari zaman prasejarah, seperti peralatan yang dihasilkan daripada batu, tanur purba, dan rangka manusia, serta kuil-kuil bersejarah," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Kabinet Thailand di sini pada Selasa.
Beliau berkata mewujudkan kesedaran dan pemahaman tentang sejarah warisan budaya Nan adalah penting untuk mencapai status Warisan Dunia.
Dalam mesyuarat itu, Perdana Menteri juga menekankan keperluan untuk mempercepatkan usaha oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Sekretariat Jawatankuasa Warisan Dunia Thailand, dan Kementerian Kebudayaan bagi mendorong Nan menjadi sebuah lagi Tapak Warisan Dunia, kata Chai.
Ia merangkumi peningkatan perkhidmatan Lapangan Terbang Nan (Lapangan Terbang Nakhon Nan) untuk penerbangan waktu malam, dengan tujuan menjalin hubungan perjalanan yang sistematik dengan Luang Prabang di Laos.
"Perdana Menteri percaya pada potensi budaya tempatan, termasuk tarikan seni dan budaya, tekstil Thai dan masakan.
"Ini termasuk menikmati makanan tempatan dan membeli produk budaya dari perusahaan komuniti setempat, sekali gus menjana pendapatan untuk komuniti dan wilayah serta merangsang ekonomi tempatan," kata Chai.
-- BERNAMA