Thailand promosikan Phuket sebagai lokasi selam skuba

Bernama
April 11, 2021 04:10 MYT
Program dua hari pada 3 dan 4 April di Pantai Kata itu, melibatkan beberapa aktiviti mempromosikan penjagaan alam sekitar laut. - Gambar hiasan
PHUKET: Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) kini mempromosikan pulau Phuket sebagai lokasi menyelam terbaik di negara itu, sebagai persediaan pembukaan semula pelancongan untuk pelancong yang telah divaksinkan bermula 1 Julai.
Pejabat TAT Phuket baru-baru ini menganjurkan 'Projek Selamatkan Laut - Phuket', bagi mempromosikan pelancongan mampan dan mewujudkan kesedaran dalam penjagaan marin bersama pemegang taruh, termasuk pelancong, penyelam dan juga operator aktiviti selaman.
Pengarah Pejabat TAT Phuket Nantasiri Ranasiri berkata, kerja-kerja sukarelawan semakin meningkat dalam kalangan pelancong tempatan, terutamanya ke arah penjagaan alam semula jadi dan juga alam sekitar.
Beliau berkata, aktiviti penjagaan laut memberikan peluang untuk penyelam mengambil bahagian dalam kesukarelawan, sambil menikmati keindahan alam semula jadi di dalam laut.
"Kami berharap menerusi projek ini, kami akan menggalakkan pelancong yang bertanggungjawab dan mempromosikan sektor menyelam di Phuket, yang terjejas terus akibat penularan COVID-19," katanya.
Thailand bercadang untuk memberikan kelonggaran terhadap kuarantin wajib kepada pelancong asing yang telah mengambil vaksin, yang tiba di pulau Phuket bermula 1 Julai, bagi memulihkan semula industri pelancongan.
Dalam persediaan pembukaan semula itu, sekurang-kurangnya 70 peratus daripada penduduk pulau itu akan divaksinkan.
Program dua hari pada 3 dan 4 April di Pantai Kata itu, melibatkan beberapa aktiviti mempromosikan penjagaan alam sekitar laut termasuk, Kutip Sampah Jika Anda Boleh; Bebaskan Saya (Menyelam); Penjagaan Pantai dan Aiskrim Mereka; Pameran Laut dan Udara; Bengkel oleh artis-artis tempatan, Selaman Malam KATA dan Maraton Pengambaran Dalam Laut.
Sejumlah 130 penyelam mengambil bahagian dalam program dua hari ini dan mereka mengumpulkan hampir 130 kilogram sampah sarap yang kebanyakannya jaring buangan, tali dan plastik buangan seperti botol dan sudu.
Selain itu Maraton Gambar Dalam Laut yang mempamerkan seni fotografi yang unik, dengan memfokuskan kepada cara mengatasi masalah pembuangan sampah dalam lautan di Laut Andaman, dan bukannya gambar-gambar keindahan batu karang pelbagai warna dan ekosistem marin.
-- BERNAMA
#Thailand #Lembaga Pelancongan Thailand #Phuket #lokasi selam skuba #menyelam #terbaik #Projek Selamatkan Laut #vaksin #kuarantin #pelancong
;