Thailand pertingkat tindakan terhadap pencemaran debu halus

Bernama
Disember 7, 2022 10:30 MYT
Pinsak berkata 63 peratus pencemaran jerebu di Bangkok berpunca daripada lalu lintas. - Gambar fail REUTERS
BANGKOK: Jabatan Kawalan Pencemaran Thailand (PCD) menyasarkan untuk mengurangkan paras hari yang berjerebu kepada 10 peratus di Bangkok dan 17 wilayah utara pada tahun depan -- susulan langkah kawalan ketat terhadap pencemaran debu halus PM25.
Ketua Pengarah PCD Pinsak Suraswadi berkata Lembaga Alam Sekitar Nasional dan kabinet Thailand meluluskan pelan khas untuk mengurangkan pencemaran jerebu pada tahun depan dengan menumpukan kepada tiga kawasan iaitu bandar, pertanian dan hutan.
Menurut Pinsak, pencemaran jerebu boleh bertambah buruk tahun depan berikutan cuaca sejuk yang berpanjangan dan pengaruh La Nina yang semakin berkurangan yang memerlukan langkah drastik untuk mengawal pencemaran, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Pinsak berkata 63 peratus pencemaran jerebu di Bangkok berpunca daripada lalu lintas, jadi pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Pentadbiran Metropolitan Bangkok untuk menubuhkan lebih banyak pusat pemeriksaan bagi mengawal pelepasan gas oleh kenderaan.
Stesen petroleum diminta menjual petrol rendah sulfur dioksida yang akan membantu mengurangkan zarah kecil semasa musim jerebu.
PCD akan melakukan pemeriksaan ke atas 896 loji arang batu, pembuatan besi dan simen di bandar dan wilayah berdekatan.
Berhubung sektor pertanian, Jabatan Perluasan Pertanian di bawah Kementerian Pertanian dan Koperasi menyasarkan untuk mengurangkan 10 peratus titik panas pencemaran di kawasan pertanian di 62 wilayah pada tahun depan.
Agensi itu akan bekerjasama dengan 17,640 petani untuk membendung pembakaran jerami di kawasaan terbuka dan kira-kira 19,600 titik panas telah direkodkan tahun ini.
Mengenai hutan, Pinsak berkata usaha telah dilakukan untuk mengurangkan jumlah kebakaran hutan dengan pengurangan sumber bahan api. Kira-kira 3,000 tan dahan serta daun kering dijangka dibuang dan dimusnahkan tahun depan.
Sistem penilaian bahaya kebakaran juga akan diaktifkan untuk menilai risiko kebakaran agar jumlah kebakaran hutan dapat dikurangkan sebanyak 20 peratus.
-- BERNAMA
#jerebu #Thailand #pencemaran #debu halus
;