Thailand pertahan keputusan tidak sertai Covax

Astro Awani
Februari 15, 2021 08:38 MYT
Jurucakap kerajaan berkata, sebagai negara berpendapatan sederhana, Thailand tidak layak mendapat vaksin percuma atau murah di bawah program Covax. - Gambar hiasan
KERAJAAN Thailand mempertahankan keputusannya untuk tidak menyertai inisiatif vaksin COVID-19 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atau dikenali sebagai Covax.
Keputusan dibuat kerana mendakwa ia akan merisikokan kerajaan dengan perlu membayar lebih untuk vaksin.
Keputusan kerajaan itu juga dikritik oleh ahli politik pembangkang dan kumpulan penunjuk perasaan.
Mereka berpandangan ia akan mempengaruhi usaha mengekang COVID-19 di negara gajah putih itu.
Negara berpopulasi 66 juta itu ketika ini masih mencatat jumlah kes dan kematian yang rendah, namun sedang berdepan gelombang kedua.
Petugas barisan hadapan akan mula menerima 2 juta dos vaksin keluaran China, Sinovac, dalam masa sebulan.
Namun, rakyatnya akan mula diberi suntikan bermula Jun, menggunakan vaksin AstraZeneca yang dihasilkan di negara itu.
190 negara menyertai Covax, bagi memastikan akses kepada vaksin ketika pandemik ini.
Jurucakap kerajaan, Anucha Buraphachaisri berkata, sebagai negara berpendapatan sederhana, Thailand tidak layak mendapat vaksin percuma atau murah di bawah program Covax.
Beliau berkata demikian mengulas laporan media mengatakan Thailand satu-satunya negara di Asia Tenggara yang tidak menyertai skim di bawah WHO itu.
"Membeli vaksin terus dari pengilang adalah pilihan yang tepat... kerana ia lebih fleksibel," kata Anucha.
#COVID-19 #pandemik #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #politik #kerajaan #Thailand #vaksin #Anucha Buraphachaisri #negara berpendapatan sederhana #vaksin percuma
;