Thailand perketat penguatkuasaan di lorong tikus di wilayah Narathiwat

Bernama
Oktober 25, 2022 10:24 MYT
Timbalan Gabenor Wilayah Narathiwat Fatimah Sabeeyamu (kiri) menyuapkan pulut kuning kepada kanak-kanak yang menyertai Program Berkhatan Muhibah Bilateral Malaysia-Thailand di Bukit Bunga hari ini. - Foto BERNAMA
TANAH MERAH: Penguatkuasaan di lorong-lorong tikus di wilayah Narathiwat diperketatkan bagi membendung kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan antara Thailand dan Malaysia.
Timbalan Gabenor Wilayah Narathiwat, Fatimah Sabeeyamu, berkata ia susulan Daerah Waeng dan Sungai Golok dikenal pasti sebagai laluan utama aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.
"Mereka (penyeludup) menggunakan lorong-lorong tikus bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu oleh pihak berkuasa, oleh itu penguatkuasaan diperketatkan lagi di lorong-lorong tikus," katanya pada sidang media selepas Program Berkhatan Muhibah Bilateral Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga, di sini. hari ini.
Seramai 57 orang kanak-kanak termasuk 26 dari Thailand menyertai program berkhatan itu.
Dalam perkembangan lain, Fatimah memuji usaha kerajaan Malaysia menambah baik kemudahan dan pembangunan di sempadan bagi merancakkan aktiviti perniagaan.
-- BERNAMA
#Narathiwat #Thailand #lorong tikus #Sungai Golok #penyeludupan