Thailand perketat langkah kawalan dan pencegahan COVID-19
Astro Awani
April 29, 2021 23:33 MYT
April 29, 2021 23:33 MYT
KUALA LUMPUR: Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thailand pada Khamis meningkatkan langkah kawalan virus dengan memanjangkan tempoh kuarantin kepada 14 hari.
Ia turut diperluaskan ke kawasan zon merah dan dikenakan buat individu yang memasuki negara itu.
Jurucakap CCSA, Taweesilp Visanuyothin memaklumkan arahan berkenaan akan berkuat kuasa bermula 1 Mei ini.
"Selari dengan arahan itu, pemakaian pelitup muka turut diwajibkan di seluruh negara," ujarnya.
Beliau menambah, serentak dengan kawalan COVID-19 yang maksimum dan ketat ini, enam daerah telah bertukar kepada zon merah gelap.
Daerah-daerah berkenaan adalah Bangkok, Chon Buri, Chiang Mai, Nonthaburi, Pathum Thani dan Samut Prakan.
Katanya lagi, pergerakan rentas wilayah dari kawasan yang disenaraikan sebagai zon merah gelap juga dilarang.
Untuk rekod, ketika ini Thailand mencatatkan peningkatan jumlah zon merah gelap, menandakan bahawa kadar COVID-19 di negara itu berada pada tahap bahaya.
Dari 18 wilayah, kini 45 wilayah diklasifikasikan sebagai zon merah gelap.
Ini sekali gus menjadikan status zon jingga di negara itu berkurang dari 59 ke 26 wilayah.
26 wilayah yang diletakkan dalam senarai zon jingga adalah Krabi, Kalasin, Chai Nat, Chumphon, Trat, Nakhon Nayok, Nakhon Phanom, Nong Khai dan Bung Kan.
Selebihnya pula adalah Buri Ram, Phangnga, Phayao, Phrae, Mukdahan, Mae Hong Son, Yasothon, Loei, Sakon Nakhon, Satun, Samut Songkhram, Sing Buri, Surin, Nong Bua Lam Phu, Uttaradit, Uthai Thani dan Amnat Charoen.
Selain itu, premis hiburan dan sekolah juga akan ditutup bermula 1 Mei depan. Sementara, pusat membeli belah hanya dibenarkan beroperasi sehingga pukul 9 malam dengan jumlah pengunjung yang terhad.
Thailand pada Khamis mencatatkan penambahan 1,871 kes baharu COVID-19 dengan 188 kes kematian.
#Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19
#CCSA Thailand
#Kawalan sempadan
#Tempoh kuarantin dipanjangkan
#Taweesilp Visanuyothin
#COVID-19
#kuarantin