Thailand perkenal langkah tangani kenaikan harga tenaga
Bernama
Mac 22, 2022 04:00 MYT
Mac 22, 2022 04:00 MYT
BANGKOK: Kabinet Thailand meluluskan beberapa langkah bantuan untuk mengurangkan kesan kenaikan harga minyak berikutan konflik Rusia dan Ukraine, termasuk memperkenalkan subsidi minyak, gas memasak dan elektrik.
Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha berkata kabinet meluluskan 10 jenis bantuan yang akan dilaksanakan dari Mei hingga Julai untuk menangani kenaikan harga tenaga.
Di bawah langkah bantuan itu harga diesel akan dihadkan pada 30 baht seliter sehingga akhir April dan selepas itu, kerajaan akan memberi subsidi 50 peratus daripada sebarang kenaikan harga.
Selain itu, kerajaan juga menyediakan subsidi bulanan sebanyak 100 baht bantuan tunai untuk gas memasak kepada 3.6 juta pemegang kad kebajikan.
Bil elektrik akan dikurangkan antara Mei dan Ogos, bagi penggunaan tidak melebihi 300 unit sebulan.
Prayuth berkata kerajaan memantau keadaan dan berusaha mencari jalan untuk meringankan beban rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.
"Kemeruapan harga dalam pasaran tenaga berikutan konflik Ukraine dan Rusia telah menyebabkan peningkatan harga pengeluaran, pengangkutan barangan dan perkhidmatan selain kos sara hidup," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet.
Langkah lain yang diumumkan hari ini termasuk 157,000 pemandu teksi motosikal akan diberi 250 baht sebulan untuk subsidi bahan api dan harga gas asli kenderaan dihadkan pada kira-kira 15.6 baht sekilogram.
Sementara itu, kira-kira 5,500 penjaja yang merupakan pemegang kad kebajikan akan menerima diskaun 100 baht untuk gas memasak.
Kadar caruman majikan dan pekerja kepada tabung keselamatan sosial pula diturunkan kepada satu peratus berbanding lima peratus.
Prayuth turut mengarahkan Kementerian Pertanian dan Koperasi serta Kementerian Perdagangan memberi bantuan kepada petani sebelum musim penanaman ekoran peningkatan kos baja serta makanan haiwan.
"Saya juga mengarahkan Kementerian Luar berkoordinasi dengan negara lain untuk mendapatkan baja dan bekalan lain," katanya.
-- BERNAMA