Thailand perkenal langkah kawalan senjata diperketat selepas tembakan Paragon Mall

Bernama
Oktober 6, 2023 10:00 MYT
Pada Selasa, seorang remaja lelaki menggunakan pistol yang telah diubah suai hingga mengakibatkan kematian seorang warga China dan Myanmar manakala lima yang lain cedera dalam kejadian tembakan di Siam Paragon Mall, Bangkok. - Gambar fail
BANGKOK: Thailand melaksanakan langkah kawalan senjata yang diperketat susulan insiden tembakan di pusat beli-belah di Bangkok yang meragut dua nyawa baru-baru ini.
Ini termasuk penggantungan permit import dan penjualan semua senjata api, termasuk tiruan.
Kementerian Dalam Negeri sedang melaksanakan lapan langkah jangka pendek untuk mengawal selia pengimportan, perdagangan dan pemilikan senjata api.
Timbalan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul, yang juga Menteri Dalam Negeri, mengumumkan bahawa pemilik senjata api blank dan BB, serta senjata api tiruan, perlu mendaftar dengan pihak berkuasa.
Anutin menegaskan bahawa Jabatan Kastam akan meningkatkan pemeriksaan import senjata api yang boleh diubahsuai menggunakan peluru hidup.
"Selain itu, Pihak Berkuasa Sukan Thailand akan melarang semua padang menembak untuk tidak membenarkan golongan muda di bawah umur 20 tahun berlatih menembak.
Semua senjata api yang dibawa ke kawasan sasar mesti didaftarkan, dan peluru tidak boleh dikeluarkan. Selain itu, senjata api itu mesti disimpan di pusat kemudahan," katanya.
Anutin mengadakan pertemuan dengan agensi berkaitan, termasuk Polis Diraja Thai, Jabatan Kastam, Kementerian Ekonomi dan Masyarakat Digital, dan Kementerian Kesihatan Awam untuk membincangkan langkah-langkah jangka pendek dan panjang bagi kawalan senjata susulan insiden Siam Paragon Mall.
Timbalan Perdana Menteri menjelaskan bahawa gabenor wilayah tidak akan mengeluarkan permit untuk individu membawa senjata di khalayak ramai.
Beliau juga menyatakan bahawa program senjata kebajikan tidak akan diperluaskan kepada orang awam.
Bagaimanapun, pegawai penguatkuasa undang-undang bagi pencegahan dan penindasan jenayah dikehendaki membawa senjata api, dengan pemindahan dilarang sama sekali.
Pembukaan kedai senjata api baharu telah digantung.
Anutin menggariskan kerjasama antara Kementerian Ekonomi Digital dan Masyarakat dan Polis Diraja Thai untuk menutup laman sesawang yang terlibat dalam penjualan haram dan pengubahsuaian senjata api.
Mengenai langkah jangka panjang, Anutin menjelaskan bahawa undang-undang dan peraturan kawalan senjata api sedia ada akan tertakluk kepada semakan dan pindaan.
Ini termasuk keperluan untuk pembeli senjata api mempamerkan sijil kesihatan mental yang membuktikan mereka layak memiliki senjata api.
Pemilik senjata api sedia ada akan diwajibkan memperbaharui lesen mereka setiap lima atau sepuluh tahun, dan menjalani ujian menembak dan pengenalan cap jari.
"Takrifan 'replika senjata' akan ditakrifkan semula untuk menjelaskan bahawa ia berbeza daripada tembakan kosong atau senapang BB, yang boleh diubah suai menggunakan peluru hidup," katanya.
Dalam kejadian tragis pada Selasa, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun menggunakan pistol yang telah diubah suai hingga mengakibatkan kematian seorang warga China dan Myanmar manakala lima yang lain cedera.
Remaja itu menghadapi lima pertuduhan termasuk pembunuhan terancang dan memiliki senjata api secara haram.
-- BERNAMA
#kawalan senjata api #tembakan #Siam Paragon mall #gantung permit import
;