Thailand perhebat program suntikan dos penggalak tangani varian Omicron
Bernama
Disember 13, 2021 23:50 MYT
Disember 13, 2021 23:50 MYT
BANGKOK: Thailand akan mempercepatkan program pemberian dos vaksin penggalak kepada rakyat negara itu bagi mengukuhkan kekebalan terhadap varian Omicron.
Ketika penularan varian baharu COVID-19 yang memberikan risiko lebih tinggi, Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata, keperluan memberikan dos ketiga COVID-19 mampu mengurangkan tahap risiko buruk penyakit itu selain mengurangkan kadar kematian.
"Oleh itu, penerima vaksin kedua pada Ogos dan September boleh mendapatkan dos penggalak mereka sekarang," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.
Sementara itu, Taweesin berkata, Thailand mengesan sekurang-kurangnya lapan kes import varian Omicron.
"Bagaimanapun tiada bukti sebarang penularan komuniti," katanya.
Sehingga kini Thailand sudah menyuntik 97.4 juta dos COVID-19 atau 69.3 peratus daripada penduduknya sejak kempen vaksinasi negara dilancarkan pada 28 Feb.
Lebih 43.3 juta penduduk atau 62 peratus sudah menerima dos kedua manakala 4.1 juta sudah menerima dos penggalak.
Taweesin juga berkata, mesyuarat CCSA yang dipengerusikan Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha hari ini meluluskan garis panduan untuk sambutan Tahun Baharu di negara itu.
Beliau berkata, restoran dan tempat makan terbuka akan dibenar untuk terus dibuka dan menghidangkan arak sehingga 1 pagi pada malam Tahun Baharu.
"Bagi acara yang dihadiri lebih 1,000 orang, peserta mestilah sudah lengkap divaksin dan negatif ujian saringan ATK dalam tempoh 72 jam sebelum acara bermula menerusi langkah-langkah Pelanggan Bebas COVID-19," katanya.
Sejak 24 jam lepas, Thailand mencatatkan 3,398 kes COVID-19 baharu dengan 23 kematian, menjadikan angka keseluruhan di negara berkenaan sebanyak 2,172,044 kes dengan 21,194 kematian.
-- BERNAMA