Thailand perhebat cegah penjualan produk tiruan
Bernama
November 26, 2016 11:32 MYT
November 26, 2016 11:32 MYT
Thailand akan memperhebatkan usaha mencegah penjualan produk palsu kerana perbuatan itu merosakkan ekonomi dan imej negara.
Pengarah Pencegahan dan Penyekatan Pelanggaran Terhadap Hak Harta Intelek Somboon Cheycharoen berkata memasar dan menjual barangan palsu secara dalam talian melalui aplikasi Facebook kini menjadi suatu trend.
"Menjual produk palsu secara dalam talian melalui Facebook menjadi trend sejak empat bulan lepas dan mengakibatkan kerosakan besar terhadap imej negara kerana pembeli dari seluruh dunia percaya Thailand menjadi pusat bagi produk palsu, walaupun produk berkenaan diimport dari negara lain," katanya pada Jumaat.
Penjualan produk palsu, jelas beliau, memberi kesan negatif terhadap ekonomi kerana mereka yang menjalankan kegiatan itu tidak perlu menyewa ruang niaga dan memberi saingan hebat kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta usahawan 'One Tambon One Product (OTOP)'.
Beliau berkata, mengikut undang-undang, mereka yang terlibat dengan kegiatan itu boleh dikenakan hukuman penjara hingga empat tahun, denda 400,000 Baht atau kedua-duanya sekali, di samping kemungkinan dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.
Kata Somboon, dalam tempoh sembilan bulan tahun ini, jabatannya mengendalikan 5,592 kes berkaitan pelanggaran hak harta intelek, meningkat 28.6 peratus daripada tempoh sama tahun lepas. - BERNAMA