Thailand: Parti Pheu Thai usaha raih sokongan ahli Parlimen

Bernama
Julai 21, 2023 04:30 MYT
Parti Move Forward pada Jumaat mengumumkan akan memberi laluan kepada sekutunya Pheu Thai membentuk kerajaan setelah Pita Limjaroenrat (gambar) gagal memperoleh sokongan Parlimen. - Gambar fail AP
BANGKOK: Gabungan lapan parti yang diketuai Pheu Thai, parti politik kedua terbesar yang memenangi pilihan raya di Thailand, akan berusaha sedaya upaya bagi meraih sokongan Ahli Parlimen untuk calon perdana menterinya pada sidang Parlimen Khamis nanti.
Pemimpin Parti Pheu Thai, Cholnan Srikaew, berkata gabungan itu memperoleh 312 daripada 500 kerusi di Dewan Rakyat dan memerlukan sokongan tambahan untuk mendapatkan 375 undi yang diperlukan daripada 749 anggota Parlimen dwidewan itu.
"Gabungan itu akan meminta sokongan tambahan daripada parti dan ahli senat.
"Pheu Thai perlu bekerja keras untuk mendapatkan sokongan semasa pengundian calon perdana menteri... Kami mempunyai masa yang terhad," katanya pada sidang media pada Jumaat.
Terdahulu, gabungan lapan parti itu bertemu untuk membincangkan cara mendapatkan sokongan bagi membentuk kerajaan.
Ini berlaku selepas parti Move Forward (MFP) pada Jumaat mengumumkan akan memberi laluan kepada sekutunya Pheu Thai membentuk kerajaan setelah Pita Limjaroenrat gagal memperoleh sokongan Parlimen.
Pita gagal memperoleh undi yang mencukupi dalam usaha pertamanya untuk menjadi perdana menteri pada 13 Julai. Enam hari kemudian, pencalonannya sebagai perdana menteri juga ditolak, sekali gus menamatkan peluangnya.
Sementara itu, Cholnan berkata MFP akan memilih calon perdana menteri Pheu Thai pada Khamis depan.
Srettha Thavisin, 60, hartawan hartanah dari parti Pheu Thai dijangka dicalonkan.
Ketika ditanya sama ada parti itu akan berpecah untuk memperoleh kuasa, Cholnan menegaskan bahawa Pheu Thai akan berusaha untuk mengekalkan gabungan itu.
"Bagaimanapun, jika pakatan itu gagal membentuk kerajaan gabungan, Pheu Thai akan membuat keputusan muktamad untuk membentuk kerajaan baharu," katanya.
-- BERNAMA
#Pheu Thai #pilihan raya thailand #Dewan Rakyat Thailand #Pita Limjaroenrat
;