Thailand: Parti Bhumjaithai umum sertai Pheu Thai bentuk gabungan baharu

Bernama
Ogos 7, 2023 21:52 MYT
Pemimpin Parti Bhumjaithai, Anutin Charnvirakul (kiri) dan pemimpin Parti Pheu Thai, Cholnan Srikaew, seeaktu sidang media pengumuman gabungan politik baharu di Bangkok, pada Isnin. - AP
BANGKOK: Parti Bhumjaithai mengumumkan untuk menyertai Parti Pheu Thai dalam usaha bagi menamatkan kebuntuan politik dan membentuk kerajaan baharu Thailand, tiga bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 14 Mei.
Pemimpin Parti Bhumjaithai, Anutin Charnvirakul, berkata parti itu menerima pelawaan Pheu Thai dengan tiga syarat - gabungan baharu itu tidak akan meminda Artikel 112 atau undang-undang lese-majeste, mereka tidak akan membentuk kerajaan minoriti dan mengecualikan Parti Move Forward (MFP) daripada gabungan baharu.
"Parti Bhumjaithai dan Pheu Thai akan mendapatkan sokongan daripada parti politik dan Senator lain untuk membentuk kerajaan majoriti," kata Anutin pada sidang media bersama di sini, pada Isnin.
Dalam perkembangan yang sama, pemimpin Parti Pheu Thai Cholnan Srikaew berkata kedua-dua parti akan berusaha untuk membentuk kerajaan dengan sokongan parti politik lain.
Pheu Thai memenangi 141 kerusi dalam PRU, menjadikannya pemenang kedua terbesar selepas MFP yang memperoleh 151 kerusi, manakala Bhumjaithai meraih 71 kerusi.
Secara keseluruhan, Pheu Thai dan Bhumjaithai mempunyai sejumlah 212 kerusi.
"Ini akan menjadi asas untuk pembentukan kerajaan baharu. Gabungan ini sedang mendapatkan sokongan Ahli Parlimen, Senator dan parti politik lain untuk membentuk kerajaan yang dapat mengurus negara dengan berkesan dan menangani masalah rakyat," kata Cholnan.
Cholnan menggesa parti-parti politik untuk menyokong calon Perdana Menteri Pheu Thai - pengurus hartanah Srettha Thavisin dan mengulangi sekali lagi bahawa MFP tidak akan dimasukkan dalam gabungan baharu itu.
Sementara itu, sekumpulan penunjuk perasaan berhimpun di luar ibu pejabat Pheu Thai untuk menyuarakan kemarahan susulan pengumuman gabungan baharu itu.
Bhumjaithai adalah penyokong tegar dalam membenarkan penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan di Thailand.
Selepas PRU, MFP dan Pheu Thai membentuk gabungan dengan enam parti lain, secara kolektifnya mengumpul 312 kerusi daripada 500 kerusi Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, semasa pengundian di Parlimen pada 13 Julai, pemimpin MFP Pita Limjaroenrat gagal memperoleh sokongan mencukupi untuk dipilih sebagai perdana menteri baharu.
Enam hari kemudian, pengundian pusingan kedua membenamkan usaha Pita untuk menjadi perdana menteri. Berikutan itu, Pheu Thai mengambil alih tanggungjawab untuk memimpin gabungan berkenaan.
Bagaimanapun, gabungan itu ranap pada 2 Ogos selepas Pheu Thai mengumumkan gabungan baharu tanpa MFP.
-- BERNAMA
#politik thailand #Pheu Thai #gabungan baharu #bhum jaithai #Bhumjaithai
;