Thailand optimis RCEP mampu dimuktamad pada Sidang Kemuncak Asean ke-35
Najib Aroff
November 1, 2019 19:52 MYT
November 1, 2019 19:52 MYT
Sepuluh negara Asean dan enam rakan dagang lain optimis dalam mencapai kata putus berhubung Perjanjian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada Sidang Kemuncak Asean ke-35 di Bangkok, Thailand, kata Menteri Perdagangan Thailand Jurin Laksanawisit.
Kenyataan itu sedikit sebanyak memberi sinar harapan meskipun wujud ura-ura bahawa India enggan menerima RCEP susulan tentangan hebat peringkat domestik dipacu kegusaran lambakan produk murah dari negara China.
Jurin berkata demikian selepas Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi Asean (AEC) di Bangkok dan menyatakan harapan kesemua negara anggota dapat memuktamadkan rundingan pada sidang kali ini.
RCEP merangkumi 10 negara anggota Asean bersama enam negara lain iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.
Rundingan RCEP masih berdepan beberapa isu melibatkan baki enam bab sebelum negara ketua, iaituThailand, mengumumkan hasil rundingan.
Antara enam bab itu adalah peraturan persaingan dagangan serta langkah mengelakkan kesan sampingan negatif RCEP.
Setakat ini 14 dari 20 bab di bawah RCEP sudah dipersetujui dan ia merangkumi 80.4 peratus pengesahan.
Rundingan RCEP bermula sejak 2012 bertujuan meluaskan kerjasama ekonomi antara negara Asean dan enam rakan dagang lain dan ia masih menemui jalan buntu.
Jika ia berjaya dimuktamadkan, RCEP mampu menjadi blok perjanjian dagang terbesar dunia merangkumi satu pertiga Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.
Secara keseluruhan RCEP merangkumi populasi 3.56 bilion melibatkan volum dagangan AS$10.3 bilion.
Menurut pandangan beberapa penganalisis, meskipun berdepan cabaran dari India, namun keputusan akhir pengesahan RCEP terletak di tangan China yang kini berdepan perang dagang bersama Amerika Syarikat.
Malah RCEP juga disifatkan perjanjian alternatif buat China selepas Perjanjian Progresif dan Komprehensif bagi Kerjasama Trans-pasifik (CPTPP) menemui jalan buntu susulan penarikan diri Amerika Syrikat.
Sementara itu, Jurin berkata Thailand selaku Pengerusi Asean akan memastikan 13 rancangan ekonomi yang digariskan di bawah kepengerusiannya akan dicapai sebelum menyerahkan baton kepada Vietnam untuk menjadi tuan rumah Asean 2020.
Ia termasuk pelan tindakan rangka kerja integrasi digital Asean, hala tuju inovasi Asean, garis panduan pembangunan tenaga kerja pakar dan khidmat profesional bagi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), deklarasi Asean untuk transformasi industri di bawah IR4.0, serta pendigitalan Perusahaan Kecil Asean.
Rancangan ekonomi lain termasuk Jendela Tunggal Asean, rangka kerja penyelesaian mata wang tempatan, mekanisma pembiayaan infrastruktur Asean, pelan induk pelancongan gastronomi Asean, mempromosi perikanan mampan melalui kerjasama Asean, pelan hala tuju untuk pasaran modal mampan Asean dan pengwujudan pusat kajian dan pembangunan bioenergy Asean.
#ASEAN
#Bangkok
#Jurin Laksanawisit
#Menteri Perdagangan Thailand
#Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi Asean
#Perjanjian Ekonomi Komprehensif Serantau
#RCEP
#Sidang Kemuncak ASEAN