Thailand nafi polis China akan lakukan rondaan di kawasan pelancongan
Bernama
November 13, 2023 21:44 MYT
November 13, 2023 21:44 MYT
BANGKOK: Thailand pada Isnin menafikan laporan bahawa polis China akan membuat rondaan di destinasi pelancongan popular di negara itu.
Sebaliknya, mereka akan bekerjasama dengan anggota polis Thailand menerusi perkongsian maklumat untuk menangani jenayah yang menyasarkan pelancong China di Thailand.
Langkah itu juga sebagai usaha meningkatkan keyakinan dalam kalangan pelancong China.
Jurucakap kerajaan Chai Wacharonke dalam satu kenyataan berkata pelancong China telah menyuarakan kebimbangan tentang penjenayah China yang beroperasi di Thailand yang menyasarkan mereka.
"Polis China dan Thailand akan berganding bahu mengumpul maklumat dalam menumpaskan kumpulan mafia. Polis China tidak akan membuat rondaan di Thailand.
"Kami memberi jaminan bahawa kerjasama sedemikian tidak akan menjejaskan kedaulatan Thailand," katanya.
Beliau menambah bahawa polis China dan Thailand telah bekerjasama dalam membanteras "grey business" yang melibatkan warga China di negara itu.
Pada Ahad, Gabenor Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) Thapanee Kiatphaibool memberitahu media bahawa Thailand merancang untuk menempatkan polis China di beberapa destinasi pelancongan untuk meningkatkan keyakinan pelancong dari negara itu.
Thapanee berkata inisiatif sama pernah dilaksanakan di Itali dari 2016 hingga 2019.
Bagaimanapun, langkah itu mencetuskan kontroversi susulan ramai yang menyuarakan kebimbangan terhadap kedaulatan negara.
Sementara itu, ketua polis negara Jeneral Torsak Sukvimol tidak bersetuju dengan cadangan melibatkan polis China.
"Langkah itu akan melanggar kedaulatan Thailand. Polis Thailand mempunyai keupayaan yang diperlukan untuk melindungi rakyat dan pelancong," katanya pada sidang media hari ini.
Thailand menyasarkan kedatangan 4 hingga 4.4 juta pelancong China tahun ini.
Bagaimanapun, statistik menunjukkan hanya sekitar 2.8 juta pelancong China melawat Thailand setakat 5 November.
Pada September, Thailand memberi pengecualian visa untuk pelancong China selama lima bulan dalam usaha untuk meningkatkan ketibaan mereka.
-- BERNAMA