Thailand nafi hantar balik penduduk kampung yang lari dari Myanmar
Bernama
Mac 30, 2021 04:21 MYT
Mac 30, 2021 04:21 MYT
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Chan o-cha menafikan laporan media menyatakan pasukan keselamatan negara itu mengusir penduduk kampung yang melarikan diri daripada serangan udara di Myanmar.
Prayuth yang juga Menteri Pertahanan berkata, Thailand sedia untuk memberikan perlindungan kepada mereka yang melarikan diri dari Myanmar atas prinsip kemanusiaan.
“Belum ada kebanjiran pelarian. Pihak berkuasa bertanya kepada mereka yang menyeberangi sempadan, apakah kawasan mereka (di Myanmar) mempunyai masalah dan jika mereka jawab tidak, kami meminta mereka kembali dulu ke rumah masing-masing.... Kami tidak menggunakan sebarang kekerasan.
“Kami tidak akan memaksa mereka pulang jika ada pertempuran di negara mereka tetapi jika tiada pertempuran, mereka boleh balik buat masa ini," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.
Terdahulu, media tempatan Myanmar melaporkan, tentera melancarkan serangan udara di negeri Karen pada Ahad, memaksa lebih 3,000 penduduk melarikan diri ke hutan dan menyeberangi sempadan Thailand.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Thailand, Tanee Sangrat, berkata laporan berita yang menyatakan pelarian Karen diarah pulang ke Myanmar pada Isnin, adalah tidak tepat dan hanya berasaskan sumber tidak rasmi.
Beliau berkata, Thailand memantau ketat perkembangan di Myanmar bersama agensi berkaitan yang membuat persediaan kemungkinan berlaku kebanjiran pelarian akibat kebangkitan rakyat di negara itu.
“Thailand mempunyai pengalaman berdepan dengan kebanjiran penduduk dari negara jiran atas pelbagai alasan sejak bertahun-tahun lalu.
"Sebelum ini, kami sering membantu kumpulan yang melarikan diri daripada pertempuran dan keganasan berasaskan tradisi kemanusiaan serta prinsip yang diterima antarabangsa," katanya yang dipetik televisyen Thai PBS.
Tentera Myanmar melakukan rampasan kuasa pada pagi 1 Februari, beberapa jam sebelum Parlimen dijadual bersidang dan menahan Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi, Presiden Win Myint, dan pemimpin kanan Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), mencetuskan bantahan antikudeta di seluruh negara.
Sehingga kini, media melaporkan sekurang-kurangnya 510 orang terbunuh sejak rampasan kuasa 1 Februari itu.
Sementara itu, Reuters melaporkan berbelas-belas orang yang melarikan diri daripada sengketa di Myanmar dibenarkan memasuki sebuah kampung di wilayah Mae Hong Son di Thailand pada Selasa untuk menerima rawatan.
Menurut laporan itu, tentera Thailand masih menghantar pulang kebanyakan daripada pelarian Myanmar kerana menganggap keadaan di seberang sempadan masih selamat.
-- BERNAMA
#Bangkok
#Thailand
#Myanmar
#penduduk lari
#serangan udara
#hantar pulang
#keselamatan
#Chan o-cha
#Perdana Menteri Thailand