Thailand mula saring penumpang dari negara Afrika kesan Ebola

Bernama
Oktober 25, 2022 20:20 MYT
Pelawat dari negara Afrika dalam tempoh 21 hari lepas dikehendaki menjalani saringan dan mendaftar diri semasa ketibaan di lapangan terbang. - Gambar hiasan/Twitter Suvarnabhumi Airport
BANGKOK: Thailand meningkatkan saringan ke atas pelawat yang tiba dari negara Afrika terutama Uganda, di Lapangan Terbang Suvarnabhumi berikutan wabak terbaru Ebola, menurut pemangku Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr. Tares Krassanairawiwong.
"Saringan ke atas penumpang merupakan langkah berjaga-jaga bagi mengelak penularan penyakit itu di Thailand," katanya dalam satu kenyataan semalam..
Beliau berkata pelawat dari negara Afrika dalam tempoh 21 hari lepas dikehendaki menjalani saringan dan mendaftar diri semasa ketibaan di lapangan terbang.
Ebola merebak melalui sentuhan langsung dengan cecair badan orang yang dijangkiti serta permukaan serta bahan yang tercemar. Gejala termasuk demam, muntah, cirit-birit, sakit otot dan pendarahan dalaman dan luaran.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tempoh inkubasi iaitu bermula jangkitan virus sehingga muncul gejala adalah mulai hari kedua hingga 21 hari. Seseorang yang dijangkiti Ebola tidak menyebarkan penyakit itu sehinggalah mereka bergejala.
Pada Isnin, kementerian kesihatan Uganda berkata secara keseluruhannya terdapat 90 kes yang disahkan dengan 28 kematian.
-- BERNAMA
#Thailand #Ebola #negara Afrika #saringan kesihatan