Thailand masih teroka kaedah untuk repatriasi gajah dari Sri Lanka

Bernama
April 24, 2023 06:20 MYT
Thailand masih meneroka kaedah untuk repatriasi seekor gajah Thailand yang dihadiahkan kepada Sri Lanka pada 2001, Sak Surin, bagi membolehkan gajah itu menjalani rawatan lanjut. - Foto BERNAMA/MFA Thailand
BANGKOK: Thailand masih meneroka kaedah untuk repatriasi seekor gajah Thailand yang dihadiahkan kepada Sri Lanka pada 2001, Sak Surin, bagi membolehkan gajah itu menjalani rawatan lanjut.
Dalam satu kenyataan, Jurucakap Kementerian Luar Kanchana Patarachoke berkata kementerian telah mengemukakan permohonan kepada Sri Lanka untuk membawa pulang Sak Surin ke Thailand.
"Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sedang dalam proses mengesahkan bajet untuk mengatur mod pengangkutan yang sesuai untuk bawa pulang Sak Surin," katanya dalam satu kenyataan.
Sak Surin, satu daripada tiga gajah yang dihadiahkan kepada Sri Lanka sebagai duta muhibah untuk Thailand.
Bagaimanapun, pada tahun lalu kumpulan hak asasi haiwan membuat aduan berhubung penganiayaan terhadap gajah itu.
Kanchana berkata Kementerian Luar masih memantau keadaan Sak Surin dan telah berhubung dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Kedutaan Diraja Thailand di Colombo.
"Sak Surin telah dipindahkan ke Taman Zoologi Dehiwala di Sri Lanka untuk rawatan lanjut sejak November 2022.
"Sejak itu, kesihatannya bertambah baik, walaupun masih tidak dapat membengkokkan kaki kiri di bahagian depan," katanya.
Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli Varawut Silpa-archa telah mencadangkan untuk menggunakan pesawat dan kapal C-130. Bagaimanapun, idea berkenaan dianggap tidak sesuai memandangkan saiz dan tahap kecederaan gajah itu.
-- BERNAMA
#Thailand #repatriasi gajah #Sri Lanka #Sak Surin
;