Thailand lulus visa khas bagi pelancong asing jangka panjang

Bernama
September 15, 2020 22:26 MYT
Thailand dijangka menerima lapan juta pelancong asing tahun ini berbanding 39.8 juta pelancong tahun lepas. Gambar: AP Photo/Gemunu Amarasinghe
Kabinet Thailand pada Selasa secara prinsipnya meluluskan visa khas jangka panjang bagi membolehkan pelancong asing menetap sehingga sembilan bulan dalam usaha untuk memulihkan industri pelancongannya yang teruk terjejas akibat pandemik COVID-19.
Timbalan jurucakap kerajaan Traisuree Taisaranakul berkata mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Prayut Chan o-Cha hari ini bersetuju dengan rancangan yang dicadangkan oleh Kementerian Pelancongan dan Sukan untuk mengalu-alukan pelancong asing menetap lebih lama di negara itu sehingga 270 hari.
Beliau berkata visa berharga 2,000 baht itu, sah untuk penginapan selama 90 hari awal dan boleh diperbaharui dua kali.
Beliau juga berkata pelawat asing jangka panjang harus menjalani kuarantin 14 hari di kemudahan kuarantin (hotel) alternatif negara itu sebaik tiba di pintu masuk sebelum dibenar melakukan perjalanan di negara itu.
"Kami menyasarkan pelancong asing dengan kuasa membeli yang tinggi untuk melawat Thailand bersama ahli keluarga mereka dengan penginapan lebih lama.
"Ia adalah langkah untuk memulihkan pelancongan dan industri berkaitan dalam negara," katanya pada sidang media di sini.
Selain menjalani kuarantin wajib, Traisuree berkata pelancong asing juga mesti mematuhi prosedur kesihatan awam yang lain sepanjang penginapan mereka di Thailand.
Visa pelancong khas itu dijangka dilancarkan bulan depan dengan 1,200 pelancong dibenarkan masuk ke negara tersebut setiap bulan.
Ketibaan pelancong Thailand merosot 71 peratus kepada 6.69 juta manakala perbelanjaan menurun 70.4 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 332 bilion baht dalam tujuh bulan pertama tahun ini.
Thailand dijangka menerima lapan juta pelancong asing tahun ini berbanding 39.8 juta pelancong tahun lepas.
Sementara itu, Thailand hari ini melaporkan lima kes baharu COVID-19 dan sifar kematian, menjadikan jumlah keseluruhan 3,480 kes dengan 58 kematian.
-- BERNAMA
#keluarga #kesihatan #Pelancong asing #Penginapan #Perdana Menteri #Thailand #Visa
;