Thailand lulus pelan tarik 1 juta hartawan warga asing

Bernama
September 14, 2021 04:20 MYT
Thailand meluluskan beberapa langkah termasuk melonggarkan dasar imigresen dan menawarkan faedah cukai.
BANGKOK: Thailand meluluskan beberapa langkah termasuk melonggarkan dasar imigresen dan menawarkan faedah cukai bertujuan menarik satu juta rakyat asing yang 'high potential' dalam tempoh lima tahun.
Jurucakap kerajaan, Thanakorn Wangboonkongchana, berkata Kabinet secara dasarnya meluluskan langkah untuk menarik warga asing termasuk mereka yang kaya-raya, pesara, pekerja jarak jauh dan profesional berkemahiran tinggi untuk tinggal lebih lama di Thailand.
"Kerajaan menjangkakan kumpulan ini menghasilkan 1 trilion baht dari 2022 hingga 2026. Ia juga menyediakan pelaburan 800 bilion baht dan 270 bilion baht dalam pungutan cukai," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.
Thanakorn berkata visa jangka panjang akan ditawarkan kepada rakyat asing 'high potential' dan dikecualikan daripada perlu membuat laporan kepada pihak berkuasa imigresen setiap 90 hari.
Langkah-langkah lain termasuk semakan peruntukan yang membolehkan orang asing memiliki hartanah, dibenarkan bekerja untuk majikan dari dalam dan luar negera serta menikmati pengecualian cukai dan kastam, katanya.
"Kabinet juga meluluskan cadangan Pejabat Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Negara (NESDC) untuk menilai pelan itu setiap lima tahun. Manfaat cukai dan hak milik tanah akan berakhir selepas lima tahun," katanya.
Sementara itu, Kabinet juga meluluskan 946 juta baht untuk Persatuan Palang Merah Thailand membeli satu juta dos vaksin COVID-19 Moderna.
Timbalan jurucakap kerajaan, Traisulee Traisaranakul berkata, vaksin itu akan diberikan kepada kumpulan berisiko tinggi dan golongan rentan secara percuma.
Bangkok Post melaporkan bahawa Zuellig Pharma, pengedar sah Moderna di Thailand, mengenakan bayaran 940 baht (RM127) bagi setiap dos vaksin berkenaan. Dengan kos pengangkutan 26.75 baht (RM3.60) bagi setiap dos, harga setiap dos vaksin adalah 966.75 baht (RM130.60).
-- BERNAMA
#Thailand #ekonomi #Visa #warga asing #vaksin #pelaburan #COVID-19
;