Thailand longgarkan lagi syarat perjalanan pelancong asing
Bernama
Februari 23, 2022 22:23 MYT
Februari 23, 2022 22:23 MYT
BANGKOK: Thailand akan melonggarkan lagi syarat perjalanan COVID-19 untuk pelancong antarabangsa mulai bulan depan bagi mengurangkan kos dan memudahkan perjalanan meskipun kes COVID-19 terus meningkat di negara itu.
Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata mulai 1 Mac, pelancong yang sudah menerima vaksin tidak perlu melakukan ujian RT-PCR pada hari kelima ketibaan sebaliknya hanya perlu membuat ujian antigen pantas kendiri.
Selain itu, beliau berkata pelancong tidak perlu membuat tempahan hotel untuk menjalani ujian itu.
"Perlindungan insurans perubatan untuk pelancong juga dikurangkan daripada AS$50,000 kepada AS$20,000," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.
Pengumuman itu dibuat selepas mesyuarat CCSA yang dipengerusikan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha hari ini.
Selain itu, pengembara perlu membuat tempahan SHA Extra hotel yang diperakui dan ujian RT-PCR COVID-19 pada hari pertama dan kelima.
Dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand merekodkan 21,232 kes baharu COVID-19 dan 39 kematian, menjadikan jumlah jangkitan kepada 2,770,793 dan 22,730 kematian.
-- BERNAMA