Thailand lancar pelan pemasaran tarik pelawat jarak jauh

Bernama
Ogos 8, 2023 04:40 MYT
Thailand dijangkakan menerima lebih 7 juta pelancong jarak jauh pada 2023, dan menjana pendapatan lebih 600 bilion baht. - Gambar fail/BERNAMA
BANGKOK: Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) melancarkan pelan pemasaran untuk menarik pelancong jarak jauh dari Eropah, Amerika Utara dan Timur Tengah bagi mengutip hasil pelancongan sebanyak 1.62 trilion baht (100 baht = RM13.10) pada hujung tahun ini.
Timbalan Jurucakap Kerajaan, Ratchada Thanadirek, berkata data menunjukkan pelancong dari ketiga-tiga rantau itu secara amnya tinggal lebih lama dan berbelanja lebih besar.
Pada separuh pertama 2023, beliau berkata Thailand menerima 3,785,330 pelancong jarak jauh termasuk 2,933,660 dari Eropah, 620,474 Amerika dan 231,206 dari Asia Barat.
"Berdasarkan analisis tingkah laku pelancong dalam tempoh tiga bulan pertama 2023, pelancong Eropah menghabiskan purata 19.4 hari dan 71,718 baht setiap seorang bagi setiap perjalanan.
"Pelancong dari Asia Barat pula menghabiskan purata 16.17 hari dan 99,172 baht setiap seorang bagi setiap perjalanan, manakala pelancong Amerika menghabiskan purata 15.26 hari dan 76,297 baht setiap seorang bagi setiap perjalanan.
"Thailand dijangkakan menerima lebih 7 juta pelancong jarak jauh pada 2023, dan menjana pendapatan lebih 600 bilion baht," katanya dalam satu kenyataan.
Selain pejabat sedia ada di New York dan Los Angeles, Ratchada berkata TAT merancang membuka pejabat baharu di Chicago, Amerika Syarikat bagi menyasarkan pelancong dari Amerika Tengah dan Kanada, serta pelancong pakej khas.
TAT juga merancang membuka pejabat baharu di Riyadh, Arab Saudi untuk menyasarkan pelancong dari Asia Barat dan Afrika Utara.
"Arab Saudi merupakan pasaran berpotensi tinggi untuk pelancong berikutan hubungan diplomatik negara itu dengan Thailand kembali normal pada 2022," katanya.
Beliau berkata jumlah pelancong Arab Saudi yang melawat Thailand antara 1 Januari dan 10 Julai tahun ini seramai 75,652, angka tertinggi dalam kalangan semua negara Asia Barat.
Kerajaan berusaha untuk menggalakkan pembangunan pelancongan mampan, seimbang dan mesra alam, di samping melaksanakan pelan dan dasar pelancongan untuk memenuhi kehendak pelancong, katanya.
-- BERNAMA
#Thailand #pelan pemasaran #pelancong jarak jauh #Ratchada Thanadirek
;