Thailand lancar kempen promosi pelancongan untuk tingkat ekonomi
Bernama
Januari 13, 2023 11:33 MYT
Januari 13, 2023 11:33 MYT
BANGKOK: Pihak berkuasa pelancongan Thailand pada Khamis mengumumkan pelan tahunannya untuk meningkatkan ekonomi melalui aktiviti pelancongan yang dipertingkatkan dan berasaskan pengalaman.
Bertema "Era Baharu yang Menakjubkan," kempen baharu itu menyasarkan penyambungan semula sepenuhnya aktiviti pelancongan Thailand tahun ini yang dijangka menjana kira-kira 2.38 trilion baht (kira-kira AS$71.12 bilion), atau 80 peratus daripada tahap prapandemik, lapor Xinhua memetik Gabenor Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) Yuthasak Supasorn pada sidang akhbar.
Pencapaian melepasi matlamat pelancongan tahun lepas dengan ketibaan 11.8 juta pelawat asing dan 189 juta perjalanan domestik mencerminkan petanda yang sangat positif untuk pemulihan industri pelancongan, kata Yuthasak.
Bagi pasaran China dan antarabangsa lain, TAT akan bergerak ke hadapan dengan memberi tumpuan kepada segmen baharu, memudahkan kekurangan tempat duduk syarikat penerbangan dan mempromosi perjalanan darat, menurut Timbalan Gabenor TAT Tanes Petsuwan pada sidang media itu.
TAT akan bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk membantu menyambung semula penerbangan antara Thailand dan China memandangkan berlaku kekurangan kira-kira 70 peratus penerbangan berbanding 2019, kata Tanes.
"Selain hubungan jalan raya di utara, kereta api China-Laos kini menjadi pencetus perubahan dengan menghubungkan wilayah selatan China ke bahagian timur laut Thailand," katanya.
Menurut TAT kerajaan Asia Tenggara itu dijangka menerima kira-kira 25 juta ketibaan antarabangsa tahun ini dengan pelancong China menyumbang 5 juta daripadanya.
-- BERNAMA