Thailand kuat kuasa larangan merokok dalam rumah 20 Ogos ini
Agensi
Jun 22, 2019 14:21 MYT
Jun 22, 2019 14:21 MYT
Satu undang-undang yang melarang perbuatan merokok di rumah akan dikuatkuasakan di Thailand pada 20 Ogos dalam usaha mengurangkan kes kematian yang diakibatkan oleh kesn perokok pasif.
Golongan perokok diberi peluang selama 90 hari untuk mempertimbang semula tabiat itu (merokok di dalam kediaman), yang membahayakan kesihatan mereka yang berada di bawah satu bumbung.
Portal berita Bangkok Post melaporkan tentang pengumuman tersebut, yang dikuatkuasakan di bawah Akta Pembangunan dan Perlindungan Keluarga.
Mereka yang melanggar undang-undang itu boleh didakwa sama ada di mahkamah juvenil atau mahkamah jenayah.
Walaupun belum ditetapkan jumlah denda, mahkamah boleh memerintahkan mereka yang melanggar undang-undang itu untuk tidak merokok di dalam rumah dan/atau memasukkan mereka ke dalam kursus berhenti merokok.
Walau bagaimanapun sehingga kini, belum ada penjelasan terperinci tentang kaedah penguatkuasaan yang akan diambil.
Pengumuman itu seiring dengan usaha kempen antitembakau yang memperjuangkan persekitaran kediaman yang bebas asap rokok dan juga asap rokok elektronik.
“Tahun lalu, sejumlah 8,278 orang mait akibat kesan perokok pasif,” ujar Ketia Pusat Penyelidikan dan pengajian Kawalan Tembakau, Ronnachai Khongsakon.
Kajian itu mendapati bahawa hampir 33 peratus perokok merokok di dalam rumah dan hampir 74 peratus merokok setiap hari.
Menurut statistik Kementerian Kesihatan Awam negara itu, pada tahun lalu, sejumlah 54,512 orang mati akibat penyakit yang berkaitan dengan tabiat merokok.