Thailand kuarantin 33 orang selepas warga Oman positif MERS

AFP
Januari 26, 2016 17:51 MYT
Penularan wabak MERS pernah mencetuskan panik di Korea Selatan pada tahun lalu. - Gambar fail
Pihak berkuasa kesihatan Thailand meletakkan seramai 33 orang dalam kuarantin pada Selasa selepas seorang warga Oman yang sedang mahu menerima rawatan di hospital negara itu didapati positif Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV).
Lelaki berusia 71 tahun itu tiba di Thailand pada Jumaat dengan demam yang tidak dapat dirawat oleh para doktor di Oman.
Status positif bagi penyakit berjangkit itu, yang telah membunuh lebih daripada 30 orang di Korea Selatan dalam wabak tahun lalu, membuatkan pihak berkuasa mengumpulkan semua individu yang pernah berhubung dekat dengannya.
“Setakat ini sejumlah 33 orang sedang dalam pemantauan,” ujar kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Awam Thailand pada Selasa.
Sekurang-kurangnya 40 orang didapati pernah berada dekat dengannya, termasuk 22 penumpang dalam pesawat yang dinaikinya, dua pemandu teksi, empat petugas hotel, 11 petugas hospital dan seorang saudara.
MERS, yang kali pertama dikesan di Arab Saudi pada 2012, dianggap berbahaya namun tidak sebesar risiko ancaman Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).
Sebelum ini Korea Selatan mengumumkan berjaya mengekang wabak MERS di negara itu yang menjangkiti 186 orang, mengorbankan 36 orang dan mengkuarantin lebih 17,000 orang.
Thailand adalah hab pelancongan yang besar dan ramai orang turut mengunjungi negara itu untuk mendapatkan rawatan kesihatan. Para penganalkisis berkata, status Thailand sebagai hab pelancongan kesihatan juga secara tidak langsung meletakkannya dalam risiko tertentu.
#kuarantin #Mers-Cov #penyakit berjangkit #Thailand #warga Oman
;