Thailand kesan kes COVID-19 jangkitan tempatan babitkan varian Afrika Selatan

Bernama
Mei 23, 2021 04:28 MYT
Pada Ahad, Thailand melaporkan 3,382 kes baharu COVID-19 termasuk 460 membabitkan banduan serta 17 lagi korban, menjadikan jumlah jangkitan 129,500 dan 776 kematian. - Gambar fail
BANGKOK: Thailand mengesan varian COVID-19 Afrika Selatan penularan tempatan membabitkan seorang peniaga Thailand berusia 32 tahun dari Tak Bai, Narathiwat.
Lelaki itu disahkan positif varian B.1.351 pada 4 Mei lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Berjangkit, Dr Opas Kamkawinpong, berkata lelaki itu diziarahi ahli keluarganya - isterinya warga Malaysia, anak dan ibu mertua - yang menyeberang sempadan secara sah dari Malaysia. Kesemua mereka tidak menjalani kuarantin mandatori.
Beliau berkata mereka semua tinggal di Thailand dari 12 April hingga 4 Mei dan sudah pulang ke Malaysia.
"Varian Afrika Selatan yang dikesan di Thailand sama dengan yang terdapat di Malaysia.
"Berikutan kawalan pergerakan di wilayah itu dari 9 hingga 22 Mei, situasinya terkawal. Tidak ada jangkitan baharu dilaporkan," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini pada Ahad.
Opas berkata, pihak berkuasa kesihatan telah mengesan 698 kontak rapat dan 81 daripadanya disahkan positif COVID-19.
Katanya, pengesanan kes aktif dilakukan dalam kalangan 160 individu di komuniti dan dua diuji positif.
"Sebanyak 83 pesakit diuji positif dari kluster ini dan tiga didapati dijangkiti varian Afrika Selatan.
"Mereka tidak mempunyai gejala yang teruk dan dirawat di hospital. Seramai 16 pesakit sudah pulih dan keluar hospital manakala 67 masih dirawat," katanya.
Pada Ahad, Thailand melaporkan 3,382 kes baharu COVID-19 termasuk 460 membabitkan banduan serta 17 lagi korban, menjadikan jumlah jangkitan 129,500 dan 776 kematian.
Sementara itu, jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata perintah kawalan pergerakan diperketatkan dikenakan di tapak binaan di daerah Lak Si Bangkok selepas lebih 1,100 pekerja diuji positif COVID-19.
"Dengan sekatan itu kami berharap dapat membendung wabak di tapak pembinaan berkenaan," katanya.
-- BERNAMA
#Thailand #Bangkok #COVID-19 #Malaysia #peniaga #penyakit berjangkit #perintah kawalan pergerakan #Afrika Selatan #varian Afrika Selatan #Narathiwat #gejala #seberang sempadan #ziarah #ibu mertua #kuarantin #Opas Kamkawinpong
;