Thailand, Kemboja jalin usaha sama strategik
Bernama
Februari 7, 2024 23:34 MYT
Februari 7, 2024 23:34 MYT
BANGKOK: Thailand dan Kemboja bersedia untuk meningkatkan hubungan dua hala kepada "Perkongsian Strategik" yang akan membuka banyak peluang baharu kerjasama lebih erat, termasuk dalam bidang ekonomi, keselamatan, pelancongan dan pembangunan sempadan.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin selepas bertemu rakan sejawatannya dari Kemboja Hun Manet yang sedang dalam lawatan rasmi sulung ke negara itu pada Rabu.
Srettha berkata perbincangan beliau dan Hun Manet sangat komprehensif.
"Kami berdua berkongsi komitmen yang sama untuk memupuk kerjasama yang lebih erat antara Thailand dan Kemboja, berasaskan rasa percaya, saling menghormati dan saling membantu," katanya pada sidang media bersama di Rumah Kerajaan pada Rabu.
Srettha berkata Thailand akan membuka Konsulat Jeneral baharu di Siem Reap manakala Kemboja bersedia membuka Konsulat Jeneral baharu di Songkhla pada tahun ini.
Beliau berkata kedua-dua negara juga akan mengukuhkan kerjasama dalam memerangi jenayah rentas negara, khususnya rangkaian penipuan siber.
Srettha berkata Thailand dan Kemboja bersetuju untuk membincangkan lebih lanjut mengenai penerokaan bersama sumber hidrokarbon di Kawasan Tuntutan Bertindih antara kedua-dua negara.
"Thailand dan Kemboja mengimport sejumlah besar bahan api asli setiap tahun, kami berbincang dan bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang keterjaminan tenaga," katanya.
Srettha berkata Thailand dan Kemboja akan menyegerakan kerjasama ekonomi untuk meningkatkan jumlah perdagangan dua hala.
Tahun lepas, jumlah dagangan dua hala berjumlah kira-kira US$8 bilion.
-- BERNAMA