Thailand kekalkan kadar dasar pada paras terendah 0.5 peratus
Bernama
Februari 3, 2021 21:19 MYT
Februari 3, 2021 21:19 MYT
BANGKOK: Bank of Thailand (BoT) mengekalkan kadar dasarnya pada paras terendah 0.5 peratus untuk menyokong pemulihan ekonomi ketika lonjakan kes jangkitan COVID-19.
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BoT sebulat suara memilih untuk mengekalkan penanda aras kadar dasar untuk mesyuarat keenam berturut-turut bagi mengekalkan ruang dasar yang terhad untuk bertindak pada masa sesuai dan paling berkesan.
Dalam kenyataan hari ini, Setiausaha MPC Titanun Mallikamas berkata impak penularan COVID-19 yang terkini ke atas ekonomi Thailand dijangka sederhana berbanding tahun lepas.
"Jawatankuasa menjangka ekonomi akan berkembang lebih rendah berbanding unjuran sebelum ini.
"Bagaimananapun, prospek pemulihan kekal amat tidak pasti, bergantung khususnya kepada situasi gelombang baharu pandemik COVID-19 dan langkah pencegahan yang serupa," katanya.
Titanun berkata kesinambungan langkah kerajaan dan penyelarasan dasar dalam kalangan agensi kerajaan adalah penting untuk menyokong pemulihan ekonomi.
Pada minggu lepas, Kementerian Kewangan merendahkan ramalan keluaran dalam negara kasar 2021 daripada 4.5 peratus yang dijangkakan pada Oktober lepas kepada 2.8 peratus tahun ini.
-- BERNAMA
#Thailand
#ekonomi
#Keluaran Dalam Negara Kasar
#Kementerian Kewangan
#bot
#COVID-19
#pandemik
#gelombang baharu
#Bangkok