Thailand jangka terima lebih 10 juta pelancong ASEAN tahun ini
Bernama
April 10, 2024 08:30 MYT
April 10, 2024 08:30 MYT
BANGKOK: Thailand dijangka menerima lebih 10 juta pelancong dari negara-negara ASEAN tahun ini, susulan pelancaran projek "ASEAN + India Shoppers in Thailand" di sini pada Selasa.
Gabenor Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT), Thapanee Kiatphaibool berkata, dengan pelancaran projek itu, jumlah ketibaan pelawat dari ASEAN dan India dijangka meningkat.
"Kami menjangkakan ketibaan pelawat dari ASEAN melepasi 10 juta tahun ini manakala jumlah pelancong India diramalkan mencecah 1.7 juta. Ini merupakan 35 peratus daripada sasaran keseluruhan tahun ini iaitu 35 juta ketibaan pelawat," katanya dalam ucapan perasmian sebelum melancarkan projek itu.
Thapanee berkata, projek itu yang bertujuan meningkatkan ekonomi Thailand dengan kuasa lembut akan bermula dari 29 April hingga 15 Jun dan ia menekankan dasar kerajaan untuk menjadikan Thailand sebagai hab pelancongan, sambil mempromosikan ASEAN sebagai destinasi pelancongan tunggal.
Beliau berkata, TAT dan rakan kongsi bersama-sama memulakan aktiviti itu terutamanya bagi pelancong ASEAN dan India, memandangkan kedudukan geografi negara-negara ini dan minat mereka dalam membeli-belah dan pengalaman tempatan.
"Akses mudah dan dasar visa rangsangan merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada 75 peratus pelancong ASEAN menjadi pelawat berulang dan India menjadi pasaran sumber yang paling pesat berkembang," katanya.
Thapanee berkata, pemegang pasport Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Vietnam dan India boleh log masuk ke laman web www.aseanindiashoppers.com untuk mengundi sumber budaya Thailand yang kaya.
Beliau berkata, peserta akan diberikan baucar hadiah dan keistimewaan istimewa, bernilai 500 baht (RM65.22) hingga 3,000 baht (RM391.34) setiap seorang, yang boleh digunakan untuk membeli jenama fesyen dan gaya hidup Thailand serta produk asli Thailand di kedai-kedai yang mengambil bahagian. - BERNAMA