Thailand isytihar tempoh berkabung 21 hari ekoran kematian Penasihat Diraja

Bernama
Mei 27, 2019 12:52 MYT
Terkenal sebagai penasihat paling dipercayai oleh mendiang Raja Bhumibol, Prem telah berkhidmat kepada Raja Vajiralongkorn dan mendiang bapanya Raja Bhumibol sebagai pengerusi Majlis Privy sejak 1998. - Gambar fail
Thailand mengisytiharkan tempoh berkabung 21 hari berikutan kematian bekas perdana menteri dan penasihat diraja Prem Tinsulanonda yang meninggal dunia akibat kegagalan fungsi jantung pada usia 99 tahun pagi semalam.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata tempoh berkabung itu bermula hari ini sehingga 17 Jun kecuali pada 3 Jun yang merupakan hari ulang tahun kelahiran Ratu Suthida.
"Semua penjawat awam digesa memakai pakaian berwarna hitam sepanjang tempoh perkabungan.
"Pejabat-pejabat kerajaan dan sekolah-sekolah akan mengibarkan bendera separuh tiang selama seminggu bermula hari ini sebagai tanda penghormatan kepada mendiang Prem," katanya.
Sementara itu, Biro Keluarga Diraja berkata Raja Maha Vajiralongkorn menzahirkan perasaan dukacita yang amat sangat atas pemergian Prem yang telah mencurahkan bakti dengan setianya sejak zaman mendiang ayahandanya Raja Bhumibol Adulyadej, sebagai panglima tentera darat, perdana menteri dan pengerusi Majlis Privy.
"Prem adalah seseorang yang mendapat kepercayaan penuh Kebawah Duli Yang Maha Mulia raja. Beliau juga dikenang sebagai seseorang yang telah memberi sumbangan besar kepada negara," menurut kenyataan itu.
Biro Keluarga Diraja berkata Puteri Maha Chakri Sirindhorn akan mengetuai upacara pemandian di Kuil Benchamabophit Dusitvanaram, yang juga dikenali sebagai Kuil Marmar di daerah Dusit di Bangkok pada 6 petang (waktu tempatan) hari ini.
Upacara pengebumian akan berlangsung selama tujuh hari di kuil yang sama bermula hari ini sehingga 2 Jun. Raja Vajiralongkorn dan Ratu Suthida akan menghadiri upacara pengebumian itu pada 2 Jun.
Semalam, Prem, Perdana Menteri Thailand ke-16, yang telah berkhidmat selama tiga penggal dari 1980 hingga 1988, meninggal dunia akibat kegagalan fungsi jantung di Hospital Phramongkutklao pada 9.09 pagi (waktu tempatan).
Terkenal sebagai penasihat paling dipercayai oleh mendiang Raja Bhumibol, Prem telah berkhidmat kepada Raja Vajiralongkorn dan mendiang bapanya Raja Bhumibol sebagai pengerusi Majlis Privy sejak 1998.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pemangku raja sejurus selepas kematian Raja Bhumibol pada 13 Okt 2016 sehinggalah permasyhuran Vajiralongkorn sebagai Raja pada 1 Dis 2016.
Prem yang hidup membujang pernah berkata beliau hanya "berkahwin" dengan tentera darat.
-- BERNAMA
#bekas perdana menteri #berkabung #kematian #penasihat diraja #Prem Tinsulanonda #rakyat Thailand #Thailand
;