Thailand ikrar main peranan proaktif untuk kestabilan Myanmar

Bernama
Januari 16, 2024 22:30 MYT
Parnpree menekankan keperluan bagi semua pihak di Myanmar untuk terlibat dalam dialog yang bermakna bagi mencapai perdamaian dan penyelesaian politik secara aman. - Reuters
BANGKOK: Thailand berikrar untuk memainkan peranan proaktif dan membina bersama ASEAN dengan sokongan serantau dan antarabangsa untuk membina Myanmar yang aman dan stabil.
Timbalan Perdana Menteri Parnpree Bahiddha-Nukara menyatakan demikian semasa menghadiri Dialog Diplomasi mengenai Myanmar di luar Forum Ekonomi Dunia 2024 di Davos pada Selasa.
Parnpree yang juga Menteri Luar menekankan keperluan bagi semua pihak di Myanmar untuk terlibat dalam dialog yang bermakna bagi mencapai perdamaian dan penyelesaian politik secara aman.
"Thailand akan memainkan peranan yang proaktif dan konstruktif bersama-sama dengan ASEAN dan dengan sokongan daripada jiran Myanmar dan rakan antarabangsa untuk menyokong Myanmar yang aman, stabil dan bersatu.
"Matlamat segera Thailand adalah untuk membantu memenuhi keperluan kemanusiaan di Myanmar, terutamanya inisiatifnya untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Myanmar di sepanjang sempadan bersama Thailand-Myanmar," katanya.
Parnpree turut berkongsi bahawa Thailand dan Myanmar telah berusaha mengatur perincian untuk memastikan penghantaran bantuan itu berkesan, boleh dipercayai dan telus serta sampai kepada rakyat Myanmar yang memerlukan di lapangan.
-- BERNAMA
#Thailand #Myanmar #ASEAN #WEF2024 #kestabilan myanmar #Parnpree Bahiddha-Nukara
;