Thailand hargai dua penyelam Australia terbabit usaha selamatkan 'wild boars'
Bernama
April 19, 2019 20:49 MYT
April 19, 2019 20:49 MYT
Dua penyelam penyelamat Australia dianugerahi 'Most Admirable Order of the Direkgunabhorn' oleh Thailand sebagai menghargai jasa mereka dalam misi menyelamat 12 'wild boars' serta jurulatih mereka yang terperangkap di dalam gua Tham Luang, Chiang Rai, tahun lepas.
Dr Richard Harris dan Dr Craig Challen menerima anugerah itu pada satu majlis di Rumah Kerajaan di sini hari ini. Mereka turut bertemu dengan Perdana Menteri Jen Prayuth Chan-o-cha.
Ini kali pertama Dr Harris dan Dr Challen kembali ke Thailand selepas memainkan peranan penting dalam misi menyelamatkan 12 pemain muda pasukan Wild Boars serta jurulatih mereka yang terperangkap di dalam gua Tham Luang yang dimasuki air, hampir setahun lepas.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Australia di sini, Dr Harris dipetik berkata beliau gembira dapat kembali semula ke negara ini.
"Kami tidak menjangka usaha menyelamat itu akan menjadi satu berita utama," katanya.
Kedua-dua mereka akan ke Chiang Rai dan melawat gua Tham Luang selain bertemu pemain Wild Boars serta keluarga mereka.
"Kami teruja untuk berjumpa mereka dan pastikan mereka semua okay serta ingin tahu keadaan mereka selepas misi menyelamat itu," kata Dr Harris.
Pada Januari lepas, kedua-duanya dinamakan 'Australian of the Year' - antara penghormatan tertinggi di negara itu.
Pada 23 Jun tahun lepas, 12 pemain pasukan bola sepak Wild Boars yang berusia 11 hingga 16 tahun bersama-sama jurulatih mereka berusia 25 tahun terperangkap ketika meneroka kompleks gua tersebut yang terletak di utara Chiang Rai selepas hujan lebat membanjiri laluan di dalam gua.
Mereka berjaya dikeluarkan selepas 17 hari berada di dalam gua tersebut.
-- BERNAMA
#anugerah
#Australia
#bola sepak
#Chiang Rai
#Dr Craig Challen
#Dr Richard Harris
#Gua
#jurulatih
#misi menyelamat
#Penyelam
#Prayuth Chan-o-cha
#terperangkap
#Thailand
#Tham Luang
#wild boars