Thailand gesa Myanmar segerakan pembebasan empat warganya dan kapal
Bernama
Disember 2, 2024 20:40 MYT
Disember 2, 2024 20:40 MYT
BANGKOK: Menteri Luar Thailand Maris Sangiampongsa menggesa Myanmar mempercepatkan pembebasan empat warga Thailand yang ditahan bersama sebuah kapal nelayan yang disita dalam satu insiden baru-baru ini.
Maris berkata Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Asia Timur telah memanggil Duta Myanmar ke Thailand hari ini untuk membincangkan perkara itu.
Insiden itu dilaporkan melibatkan Tentera Laut Myanmar yang melepaskan tembakan ke arah sebuah kapal nelayan Thailand, mengakibatkan kematian seorang individu dan menahan empat anak kapal.
Sambil menyuarakan kebimbangan serius, Menteri Luar itu menyeru Myanmar memberikan keutamaan kepada pembebasan segera individu yang ditahan serta kapal berkenaan.
"Kami telah meminta pihak berkuasa Thailand diberikan akses untuk melawat empat anak kapal yang ditahan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata Duta Thailand di Yangon telah diarahkan untuk bertemu Setiausaha Tetap Kementerian Luar Myanmar di Naypyidaw bagi membincangkan isu itu dengan lebih lanjut.
Maris turut mengemukakan perkara ini kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Myanmar, menggesa mereka memastikan kebajikan warga Thailand yang ditahan dan menyelesaikan kes berkenaan dengan segera.
Beliau menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat Thailand adalah keutamaan utama Kementerian Luar dan kerajaan, sambil berjanji akan mengambil semua langkah yang diperlukan untuk memastikan pembebasan anak kapal.
Media tempatan Thailand melaporkan bahawa pada Sabtu, sebuah kapal perang Myanmar melepaskan tembakan ke arah tiga kapal nelayan Thailand yang mengakibatkan satu kematian dan penahanan 31 individu.
Kapal-kapal berkenaan dilaporkan sedang menangkap ikan kira-kira 20 kilometer ke barat Koh Phayam apabila kapal Myanmar menghampiri, memaksa nelayan melarikan diri dengan memotong jaring mereka dan mempercepatkan pergerakan kapal.
-- BERNAMA