Thailand dijangka mulakan pembinaan jambatan kembar di sempadan Rantau Panjang-Sungai Golok pada April 2025
Bernama
Jun 13, 2024 17:32 MYT
Jun 13, 2024 17:32 MYT
THAILAND dijangka memulakan projek pembinaan jambatan kedua, yang dikenali sebagai Jambatan Kembar, di Rantau Panjang-Sungai Golok pada April 2025.
Gabenor Wilayah Narathiwat Trakul Thotham berkata sebelum projek pembinaan jambatan itu bermula, penaksiran kesan persekitaran (EIA) perlu dijalankan.
Kajian EIA berkaitan pembinaan jambatan kedua itu akan bermula bulan depan.
"Jambatan baharu ini akan berfungsi sebagai laluan kedua untuk menyeberangi sempadan antara Thailand dan Malaysia.
Saya berharap pembinaan jambatan kedua yang menghubungkan Sungai Golok, Narathiwat, dan Kelantan, Malaysia, akan meningkatkan hubungan pelancongan dan perdagangan antara kedua-dua negara," katanya.
Trakul berkata demikian kepada pemberita semasa Lawatan Rasmi Duta-Duta Negara Anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke selatan Thailand.
Beliau juga menyebut bahawa jambatan kedua ini akan merangsang pertumbuhan ekonomi antara Thailand dan Malaysia.
Jambatan kedua Sungai Golok-Rantau Panjang akan dibina dengan enam lorong, selari dengan jambatan sedia ada yang terlalu sempit untuk kenderaan besar.
-- BERNAMA