Thailand diberi amaran tentang ancaman IS, empat warga Syria diburu

Reuters
Disember 7, 2015 09:52 MYT
Beberapa kedutaan asing di Bangkok telah mengeluarkan amaran keselamatan kepada para petugas masing-masing. - Gambar hiasan
Pihak berkuasa Thailand memburu empat lelaki warga Syria yang didapati tinggal melebihi tempoh visa di negara itu.
Dalam masa yang sama, Thailand sekarang ini dalam keadaan berjaga-jaga selepas Rusia memberi amaran mengenai serangan daripada anggota militan IS warga Syria.
Bagaimanapun, empat lelaki yang telah didedahkan nama dan gambar mereka itu tidak dinyatakan sebagai sebagai ancaman keselamatan, namun mereka tetap dianggap melanggar undang-undang.
Minggu lalu, maklumat dokumen daripada polis Cawangan Khas Thailand telah dibocorkan di media sosial, menunjukkan tentang amaran perisikan Rusia mengenai 10 warga Syria yang mempunyai kaitan dengan militan IS.
Amaran itu menyatakan bahawa kesemua merka telah memasuki Thailand pada Oktober lalu dan merancang untuk menyerang kepentingan Rusia.
Kandungan dokumen itu membuatkan pihak berkuasa Thailand meningkatkan kawalan keselamatan terutamanya di Pattaya dan Phuket yang popular dalam kalangan pelancong selain menjadi tempat tinggal golongan ekpatriat Rusia.
Namun, Biro Imigresen memberitahu, empat warga Syria yang dinyatakan itu memasuki Thailand antara April dan Oktober, bukan dalam tempoh khusus yang dikatakan oleh perisik Rusia.
“Salah seorang daripada mereka, kami hanya mahu menangkap mereka kerana tinggal lebih tempoh yang dibenarkan. Itu sahaja,” ujar Pesuruhjaya Imigresen Nathathorn Prausoontorn.
Rusia memulakan serangan udara di Syria pada 30 September. Sekutu IS pula mendakwa bertanggungjawab menembak jatuh sebuah pesawat Rusia di Semenanjung Sinai, Mesir pada Oktober lalu hingga mengorbankan 224 nyawa.
Beberapa kedutaan asing di Bangkok dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mempunyai ibu pejabat serantau di ibu negara Thailand, telah mengeluarkan amaran keselamatan kepada petugas masing-masing berikutan amaran daripada Rusia itu.
#ancaman keselamatan #militan IS #perisik Rusia #Thailand #warga Syria
;