Thailand di landasan tepat jadi pengeksport beras kedua terbesar dunia
Bernama
Jun 30, 2023 20:37 MYT
Jun 30, 2023 20:37 MYT
BANGKOK: Thailand kini berada di landasan tepat untuk menjadi pengeksport beras kedua terbesar dunia, dengan menyasarkan penghasilan melebihi 8 juta tan eksport pada tahun ini.
Timbalan Ketua Setiausaha kepada Perdana Menteri dan Pemangku Jurucakap Kerajaan Anucha Burapachaisri berkata dalam tempoh empat bulan pertama 2023, jumlah eksport beras Thailand mencatatkan 2.62 juta tan, iaitu peningkatan 14.4 peratus tahun ke tahun.
Bagi meningkatkan eksport beras, beliau berkata sektor awam dan swasta telah bekerjasama rapat membangunkan kepelbagaian beras baharu Thailand.
"Sebanyak 21 (jenis padi) telah dibangunkan dalam tempoh tiga tahun pertama pelaksanaan, melebihi matlamat asal iaitu sekitar 12 (jenis padi) baharu dalam tempoh lima tahun," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Anucha berkata kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan mempergiatkan promosi pameran perdagangan serta melibatkan diri dalam rundingan dengan rakan dagang untuk meneroka pasaran baharu.
"Kerajaan telah mengutamakan hubungannya dengan rakan perdagangan utama, termasuk Iraq, Indonesia, Afrika Selatan, Amerika Syarikat, dan China, untuk meneroka pasaran baharu.
"Wakil perdagangan juga bertemu dengan rakan perdagangan di Hong Kong, China, Filipina, Malaysia, Indonesia, Singapura, Jepun, dan Afrika Selatan untuk mengukuhkan hubungan dan kerjasama," katanya.
Anucha berkata kerajaan juga menyokong pengeksport beras untuk menyertai pameran antarabangsa termasuk Ekspo China-ASEAN (China), Fine Food (Australia), ANUGA (Jerman) dan THAIFEX-ANUGA ASIA 2023 untuk meningkatkan pasaran beras Thai di arena global.
"Satu kempen promosi telah dijalankan untuk mewujudkan kesedaran tentang imej positif dan keunikan beras Thai di bawah konsep: "Think Rice Think Thailand","katanya.
Dengan kerjasama dan usaha bersepadu semua sektor berkenaan, Anucha berkata Prayuth yakin eksport beras Thailand pada 2023 akan mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu lebih 8 juta tan.
"Kualiti kehidupan petani Thailand juga dijangka meningkat dengan peningkatan pendapatan hasil eksport beras," katanya.
-- BERNAMA